PUTRAJAYA: Permohonan peguam Datuk Seri Najib Razak agar semakan kehakiman berkait Titah Adendum itu didengar terus oleh Mahkamah Persekutuan hari ini telah ditolak.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Terdahulu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan tergempar itu atas alasan anak guamnya tidak sanggup lagi kehilangan lebih banyak masa dalam mendapatkan hak beliau dalam menjalani hukuman di rumah.
Ujar peguam itu, walaupun beliau melakukan segalanya untuk menyegerakan kes tersebut, ia tetap akan mengambil masa dua hingga tahun untuk selesai.
“Datuk Seri Najib tidak mampu kehilangan walau satu hari pun dalam usahanya mendapatkan hak untuk menjalani hukuman di bawah tahanan rumah .
“Ia adalah kerana dengan kes (semakan kehakiman) itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan sebelum ia dapat didengar.
“Dengan kemungkinan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, kes ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun sebelum beliau boleh diberikan tahanan rumah,” katanya.
Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Peguam Negara dan memerintahkan agar semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan.
Hakim Hasnah selepas mendengar permohonan itu bagaimanapun menyatakan, dakwaan Muhammad Shafee bahawa kes akan mengambil masa lama hanyalah satu andaian.
“Awak yang membuat andaian tersebut Tan Sri. Saya adalah Hakim Besar Malaya. Saya telah mengarahkan kesemua hakim-hakim saya untuk menyelesaikan semua kes dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan.
“Kami akan memberikan arahannya selepas ini. Kami baru sahaja hendak memberikan arahan mengenainya sebelum awak bangun dan membuat permohonan. Kami harap awak mempunyai kelapangan sepanjang tahun ini,”katanya.
Selain itu, Hakim Hasnah menyatakan hakim bukan robot dan mereka memerlukan masa untuk membaca segala hujahan membabitkan dokumen yang banyak dan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum menyampaikan keputusan.
Tambahnya, jika mahkamah tertinggi negara mendengar kes semakkan kehakiman berkenaan, ia secara tidak langsung akan menafikan hak Najib untuk merayu kerana sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah keputusan muktamad. – UTUSAN









