Serangan selepas Rafizi jumpa pemberi maklumat

Serangan selepas Rafizi jumpa pemberi maklumat

RAFIZI Ramli dalam sidang akhbar di Parlimen semalam. GAMBAR PARLIMEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Serangan ke atas anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berusia 12 tahun sebuah pusat beli-belah kelmarin, dipercayai bersabit de­ngan cubaan untuk menutup mulut mengenai sesuatu yang sedang ditelitinya.

Rafizi dalam sidang akhbar di Parlimen semalam berkata, beliau percaya serangan itu bermotif ugutan berhubung siasatannya terhadap beberapa skandal yang sedang berlaku melibatkan individu tertentu.

“Mesejnya jelas, minggu lepas ada satu kumpulan datang dan saya boleh beritahu pihak terbabit siapa dalang di belakang ini, bia­sanya kalau saya mula lihat suatu skandal itu, saya akan pergi lebih mendalam,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, semalam.

Turut serta dalam sidang media tersebut, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir serta beberapa ahli Parlimen PKR lain.

Kelmarin, anak Rafizi di­serang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.45 petang ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi tersebut dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Rafizi turut mendedahkan bahawa selepas kejadian serangan itu, isterinya mene­rima mesej ugutan daripada pihak yang tidak dikenali yang diterima sebanyak dua kali daripada nombor yang sama melalui WhatsApp yang berbunyi:

‘Diam, kalau tidak Aids’, pertama kali pada jam 1.12 pagi tadi (semalam), sementara mesej yang kedua pada 11.02 pagi tadi (semalam) dengan ayat yang sama dengan tambahan emoji picagari.

“Saya ini tidak makan saman, lokap pun sudah, sudah melalui hilang jawatan pun aku tak ambil port, jadi mereka yang terbabit merasakan lebih mudah mempengaruhi keputusan saya melalui isteri,” katanya.

Rafizi turut memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis berserta nombor telefon tersebut dan berharap siasatan akan dibuat dengan lancar.

Katanya, beliau tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum berlaku serangan terhadap anaknya, bagaimanapun menegaskan tidak akan tunduk dengan ugutan tersebut meskipun cuba mempe­ngaruhi isteri dan anaknya.

Pada ketika ini jelasnya, beliau menjalankan rutin harian seperti biasa dalam keadaan yang baik dan mereka ‘meneruskan kehidupan seperti biasa’.

“Yang kena pergi sekolah kena pergi sekolah. Yang isteri saya jaga kucing kena jaga ku­cing. Dan saya akan terus seperti biasa dalam rutin harian saya,” katanya.

Mengulas perkembangan mengenai situasi anaknya, Ra­fizi berkata, pemeriksaan awal sudah dibuat meliputi ujian darah dan diletakkan dalam tempoh pemerhatian.

“Pandangan perubatan kena tunggu lama kerana kita perlu buat beberapa ujian dan pemerhatian berbulan-bulan. Pada saya ada tiga kemungkinan.

“Satu, yang disuntik itu adalah sama ada dadah atau racun. Kedua yang disuntik itu adalah berbentuk viral (virus), maksudnya berbentuk HIV, hepatitis dan lain-lain.

“Yang ketiga hanya kosong, dia suntik air,” katanya.

Jelas Rafizi, anaknya terpaksa membuat rawatan darah berulang kali dan ujian penuh setiap enam minggu.

Untuk rawatan fasa kedua pula, kekerapan dikurangkan kepada tiga bulan untuk memastikan sama ada terdapat suntikan virus.

“Kita hanya akan tahu enam bulan dari sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×