SUBANG JAYA: Pelajar kolej yang ditemukan maut di rumahnya di USJ 2/1 di sini pada Khamis lalu didakwa tidak mesra dan jarang bergaul dengan jiran.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, pelajar itu dikatakan tinggal bersama kakaknya di kediaman tersebut sementara ibu dan bapa mereka menetap di Kota Kemuning, Shah Alam.
Katanya, meskipun sudah setahun dia berjiran dengan mangsa namun ibu bapa mereka jarang dilihat pulang ke kediaman tersebut.
“Mak mangsa ada pulang sekali sekala untuk membersihkan rumah namun tidak bertegur siapa. Dia datang dan pergi begitu sahaja.
“Mangsa dan kakaknya juga buat urusan mereka masing-masing kerana bila balik terus parking kereta di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah wanita itu, beberapa hari sebelum kejadian juga tiada sebarang perkara mencurigakan memandangkan kediamannya dan mangsa berhadapan laluan utama.
“Kami sekeluarga memang tidak dengar apa-apa yang mencurigakan dan pelik kerana keadaan kawasan persekitaran di sini memang agak bising.
“Waktu malam pun, bunyi motor melalui kawasan utama ini agak bising,” jelasnya.
Sementara itu, cubaan untuk menghubungi bapa mangsa bagaimanapun tidak berjaya.
Terdahulu, siasatan polis tidak menolak kemungkinan pelaku menyebabkan kematian seorang pelajar kolej berusia lingkungan 20-an itu adalah berkemungkinan individu dikenali.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan keterangan 12 individu telah diambil bagi membantu siasatan ini.
“Siasatan akan dilakukan menyeluruh termasuk mengenal pasti motif kejadian ini,” katanya.
Semalam,polis mengesahkan kematian seorang pelajar kolej berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah pada Khamis lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Wan Azlan memaklumkan, satu panggilan diterima daripada seorang lelaki kira-kira pukul 11.55 pagi berhubung kejadian.
Katanya, pengadu memaklumkan menemukan anak perempuannya dalam keadaan tergantung pada kipas di ruang tamu tingkat dua rumah berkenaan.
Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan di sekeliling tulang hyoid (tulang leher) akibat kecederaan otot dan tulang kesan daripada ‘manual strangulation’ (cekikan menggunakan tangan). – UTUSAN








