KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan menambah baik sistem penggiliran penempatan operasi pegawai dan anggotanya bagi meningkatkan integriti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Kementerian Pertahanan amat tegas dalam isu-isu berkaitan integriti pegawai dan anggotanya khususnya yang bertugas di lapangan bagi menjaga kedaulatan tanah air.
Katanya, sistem penggiliran penempatan pegawai dan anggota di lapangan sememangnya sudah pun dilaksanakan mengikut lokaliti tertentu.
“ATM ada proses penggiliran (pegawai dan anggota) tetapi pada masa sama, akan pastikan model penggiliran ditambah baik dari semasa ke semasa kerana kita tahu bahawa setiap penggiliran di kawasan tertentu ada model tersendiri.
“Sebab itu kalau kita lihat, anggota operasi ada sebahagiannya penempatan mereka ambil masa bertahun dan lagi antara tiga hingga satu tahun sahaja,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN -Sik) yang bertanyakan apakah langkah pencegahan rasuah dan integriti dalaman digerakkan termasuk sistem penggiliran anggota, audit digital operasi dan program komuniti border alert dilakukan supaya barisan hadapan tidak mudah ‘dibeli’ oleh kumpulan penyeludup.
Tegas Adly, sistem penggiliran pegawai dan anggota di lapangan sememangnya dilakukan sebagai salah satu proses operasi namun tempohnya akan dinilai semula sebagai langkah meningkatkan integriti khususnya warga ATM.
“Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan soal integriti atau rasuah melibatkan anggota ATM atau mana-mana pihak dalam Malaysia Madani sebab itu kami sentiasa beri kerjasama dalam penyiasatan.
“Tapi perlu diingatkan keadilan harus diberikan kepada semua pihak, di Kementerian Pertahanan ada beberapa kes anggota kita dibawa ke mahkamah (namun) apabila dibicarakan dia didapati tidak bersalah, jadi kita kembalikan tugas dan tanggungjawabnya,” katanya. – UTUSAN










