Malaysia seru ASEAN perkukuh keselamatan maritim

Malaysia seru ASEAN perkukuh keselamatan maritim

MOHAMED Khaled Nordin (lima dari kiri) bergambar bersama panglima tentera laut ASEAN pada Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Laut ASEAN ke-19 (ANCM) di Batu Ferringhi, Pulau Pinang. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Malaysia menyeru negara anggota ASEAN agar segera bertindak dengan memperkukuh keselamatan maritim serantau bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan tidak mudah dipengaruhi oleh kuasa luar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ASEAN tidak boleh berdiam diri atau berpecah dalam menghadapi cabaran maritim yang semakin kompleks.

“Marilah kita berterus terang. Jika ASEAN tidak bertindak sekarang, kestabilan maritim kita akan terjejas teruk. Kita tidak boleh membiarkan zon maritim berdaulat kita jatuh ke tangan kuasa asing.

“Kita tidak boleh berdiam diri. Kita tidak boleh berpecah-belah. Dan, kita sama sekali tidak boleh membiarkan Asia Tenggara menjadi tidak stabil. Maka, apa yang kita perlukan adalah tindakan kolektif yang menterjemahkan dialog kepada pelaksanaan dan cita-cita kepada pencapaian,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Laut ASEAN ke-19 (ANCM) di sini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Batu Ferringhi itu turut dihadiri semua Panglima Tentera Laut negara anggota ASEAN manakala Timor-Leste menyertai buat pertama kali sebagai pemerhati.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, cabaran maritim kini melangkaui isu tradisional seperti pertikaian wilayah dan persaingan kuasa besar, sebaliknya merangkumi ancaman bukan tradisional seperti penangkapan ikan haram, serangan siber dan penyebaran maklumat palsu.

“Tiada satu pun tentera laut atau kerajaan yang mampu menghadapinya secara bersendirian.
Oleh itu, respons kita tidak boleh berpecah-belah. Sebaliknya, ia mesti bersatu, tegas dan berpandangan jauh,” katanya yang memberitahu solidariti ASEAN mesti diperkukuh berasaskan undang-undang antarabangsa khususnya Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS 1982).

Jelas Mohamed Khaled, kekuatan ASEAN hanya akan terzahir apabila negara-negara anggotanya mampu bersuara dengan satu suara dan berdiri bahu-membahu pada saat yang paling penting dan Sebarang kompromi akan menghakis perpaduan serta kredibiliti ASEAN sebagai tonggak kestabilan serantau.

Dalam hal ini, menurut beliau, ASEAN juga perlu bergerak melangkaui retorik dengan menzahirkan kerjasama praktikal melalui platform seperti ASEAN Maritime Forum, ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) dan ASEAN Our Eyes.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia mencadangkan dua inisiatif baharu iaitu ASEAN Maritime Innovation Challenge (AMIC) bagi menggalakkan idea segar keselamatan maritim oleh pegawai muda serta ASEAN Naval Sport Cup untuk memupuk persahabatan dan semangat berpasukan.

“Lebih daripada itu, Malaysia mahu satu projek maritim ASEAN berskala serantau dilaksanakan, melibatkan penerapan teknologi, peningkatan modal insan dan pembangunan bersama keupayaan tentera laut,” jelas beliau.

Mohamed Khaled turut menggesa semua negara anggota meneroka pendekatan keselamatan maritim melalui kaedah menyeluruh-kerajaan dan menyeluruh-masyarakat (Whole-of-Government and Whole-of-Society, WOGOS).

“Ancaman hari ini melangkaui sempadan agensi atau bidang kuasa. Justeru, ASEAN perlu menyatukan kerajaan tempatan, masyarakat sivil, akademik badan pemikir serta sektor swasta dalam barisan hadapan yang padu” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×