PETALING JAYA: Malaysia terus mendapat kepercayaan dunia Islam untuk mendepani usaha diplomatik bagi menghentikan kekejaman dan genosid yang masih berterusan di Palestin.
Perkara itu dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima panggilan telefon Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian yang memuji pendirian tegas dan konsisten Malaysia terhadap penderitaan rakyat Gaza.
“Beliau turut menggesa agar Malaysia terus mendepani usaha diplomatik dalam menentang kekejaman dan genosid yang masih berterusan di bumi Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Perdana Menteri, beliau memberi jaminan bahawa komitmen Malaysia dalam isu Palestin kekal konsisten, bukan sahaja melalui kenyataan lantang di pentas antarabangsa, malah turut digerakkan melalui kerjasama erat dengan pemimpin serantau dan global.
“Kita telah menggembleng kerjasama bersama pemimpin Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan bagi memperkukuh tekanan terhadap rejim Zionis. Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini telah melampaui batas kemanusiaan,” katanya.
Kata beliau, perbualan itu turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
Presiden Pezeshkian juga menyampaikan jemputan rasmi kepada Anwar untuk mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat sebagai simbol kesediaan Iran mempererat hubungan diplomatik dengan Malaysia.-UTUSAN










