PETALING JAYA: Kerajaan disaran menghidupkan semula hotel di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dengan melantik pakar berpengalaman dalam pengurusan industri perhotelan.
Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, kegagalan operasi hotel di kawasan R&R sebelum ini berpunca daripada pengurusan yang tiada kepakaran dalam industri tersebut.
“Kawasan R&R memang mempunyai permintaan. Jika diuruskan oleh pihak berpengalaman, ia boleh dihidupkan semula. Teknologi pun sudah ada, cuma perlu pengendali yang benar-benar memahami pengurusan hotel.
“Kita mencadangkan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) bekerjasama dengan pihak industri atau persatuan hotel bagi mendapatkan khidmat nasihat sebelum projek ini dilaksanakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambahnya, hotel dengan kadar sewa berpatutan di kawasan R&R juga mampu menjadi kemudahan penting untuk pemandu lori dan bas berehat, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Beliau turut menggesa agar kawasan R&R turut dimanfaatkan untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026), memandangkan ketika ini tiada logo atau tanda promosi jelas di kawasan tersebut.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, bangunan hotel terbiar di beberapa kawasan R&R sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan akan dimanfaatkan semula menerusi pelbagai inisiatif bagi menjadikannya lebih bermanfaat dan mesra pengguna.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bangunan hotel yang tidak lagi beroperasi itu berada di bawah seliaan syarikat konsesi PLUS dan sebelum ini ditutup berikutan ketidakupayaan untuk menjana pulangan komersial yang berdaya saing. – UTUSAN










