Haram kutip zakat di Pahang, bayar ke negeri lain

Haram kutip zakat di Pahang, bayar ke negeri lain

KUANTAN 6 Ogos 2025 - ABDUL ZAKI MD. ZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Perbuatan mengutip zakat di negeri ini dan membayarnya ke negeri lain tidak sah di sisi hukum syarak serta bercanggah dengan peruntukan undang-undang zakat yang berkuat kuasa di negeri-negeri.

Penegasan itu selari keputusan yang dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Nege­ri Pahang Bil. 1/2025 pada 14 Januari lalu serta berpandukan kepada ketetapan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-125 yang bersidang pada 25 hingga 26 September 2023.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Zaki Md. Zain berkata, pihaknya me-nerima maklumat dan aduan bahawa ada pihak-pihak luar datang ke negeri ini dan menjalankan kutipan zakat tanpa tauliah yang sah daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

“Kadangkala mereka datang ke masjid, surau, pasar malam atau tepi jalan dengan mengutip atas nama institusi agama lain. Orang awam pula tidak menyemak latar belakang amil atau ejen ini.

“Perbuatan ini bertentangan dengan syarat hukum syarak yang menetapkan zakat mesti diagihkan di tempat ia dikutip. Kutipan zakat daripada masyarakat Islam di Pahang wajib disalurkan kepada asnaf dan golongan memerlukan di negeri ini terlebih dahulu.

“Perbuatan membawa zakat termasuk zakat harta keluar negeri adalah pengkhianatan kepada amanah diberi dan boleh menganiaya asnaf tempatan yang amat memerlukan bantuan zakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Zaki mengingatkan bahawa zakat adalah ibadah wajib yang perlu dilaksanakan dengan penuh ketelitian dan menurut tatacara hukum yang sah, ia bukan sekadar pemberian derma atau sumbangan biasa yang boleh diberikan sesuka hati kepada sesiapa sahaja.

“Umat Islam yang bermastautin dan bekerja di negeri ini wajib menunaikan zakat kepada institusi rasmi seperti Muip. Tanggungjawab ini perlu difahami agar tiada asnaf yang terpinggir akibat kutipan zakat yang bocor keluar negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN