KUALA LUMPUR: Muhammad Rulhaikal Afiq Rozali, 24, pernah berniaga ayam goreng ala Korea tetapi sekadar cukup makan. Tanpa ilmu pengurusan kewangan, beliau tidak tahu sama ada perniagaannya untung atau rugi.
Namun, selepas menyertai program impak sosial Maybank Islamic Berhad, kehidupannya berubah. Kini, perniagaan Royy Ayam Korea bukan sahaja mengeluarkannya daripada status asnaf, malah membolehkan beliau menggajikan ibu tunggal dan individu kelainan upaya.
“Dulu saya berniaga secara “cuba saja”. Saya tidak bezakan duit perniagaan dan duit sendiri. Bila nampak duit masuk, saya anggap sudah cukup, tapi sebenarnya saya tidak tahu untung atau rugi,” katanya.
Kisah Rulhaikal hanyalah satu daripada ribuan kisah perubahan hidup hasil pelbagai program tajaan Maybank Islamic.
Sejak 2021 hingga 2025, seramai 5,676 penerima manfaat dibantu melalui tiga program utama: Program Kelestarian Perniagaan, Reach Independence & Sustainable Entrepreneurship (R.I.S.E.), dan PEMANGKIN Usahawan Asnaf.
Di Malaysia sahaja, lebih 4,382 penerima manfaat menerima sokongan dengan dana zakat perniagaan melebihi RM13.8 juta.
Membina Harapan Melalui R.I.S.E.
Program R.I.S.E. Yayasan Maybank memberi manfaat kepada lebih 5,124 peserta tajaan Maybank Islamic di Malaysia, Indonesia dan Filipina. Peserta didedahkan kepada asas pengurusan kewangan dan operasi perniagaan.

Syed Mohd Faizal, 48, pemilik gerai nasi ayam di Cheras, sebelum ini berniaga tanpa memahami untung rugi. Selepas menyertai program, beliau lebih yakin, mempunyai simpanan dan mampu mengurus modal dengan betul. Kini, beliau bakal membuka sebuah lagi kafe di Bangi.
“Sebelum menyertai program ini, saya sendiri tidak pasti perniagaan saya berkembang atau tidak. Sebelum ini, banyak lebihan makanan yang dibuang kerana tidak mampu menguruskan stok,” katanya.
Program Kelestarian Perniagaan
Program ini memberi fokus kepada pengukuhan asas perniagaan melalui latihan intensif dalam pengurusan kewangan, strategi perniagaan, pemasaran digital dan Prosedur Operasi Standard. Pada 2024–2025, seramai 135 usahawan asnaf menyertai program ini.
Rulhaikal sendiri menyaksikan keuntungan meningkat lebih 30 peratus selepas memahami Business Model Canvas.
Beliau kini melihat perniagaannya sebagai perniagaan berstruktur dan berpotensi berkembang.

Di Kedah, Miqdad Hanafi, 40, pengasas Miqdadshop pernah menjadi penerima zakat daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah, turut mengalami perubahan besar. Perniagaannya yang dahulu tidak teratur kini mencatat keuntungan meningkat sehingga 90 peratus.
“Sekarang, saya sudah merancang untuk membuka kedai fizikal untuk memudahkan pelanggan-pelanggan saya,” kata beliau.
PEMANGKIN Usahawan Asnaf
Program ini dilaksanakan bersama INSKEN dan memberi bimbingan berstruktur daripada asas hingga lanjutan. Sehingga kini, 417 usahawan telah menyertai program ini.

Aida Rohayu Hashim, 48, pengusaha kek dan pastri di Pulau Pinang, sebelum ini berdepan jualan tidak konsisten. Selepas menyertai program, jualannya meningkat hampir 70 peratus.
“Selepas menyertai program ini, saya berasa lebih yakin dan kini saya juga menyalurkan produk ke luar Pulau Pinang termasuk Alor Setar dan Ipoh,” katanya yang juga sudah mula membuka kelas bakeri selepas mendapat permintaan daripada pengikut media sosialnya.
Impak Menyeluruh
Pendekatan Maybank Islamic bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi gabungan latihan, bimbingan, pemantauan dan sokongan berterusan. Ia memberi peserta instrumen untuk keluar daripada kitaran kemiskinan secara mampan.
Kisah Rulhaikal, Miqdad, Syed Mohd Faizal dan Aida Rohayu membuktikan bahawa dengan intervensi tepat, kemiskinan boleh diubah menjadi peluang.
Sepanjang lima tahun, lebih 5,000 kehidupan telah berubah. Bagi komuniti terpinggir, ia adalah peluang kedua dalam kehidupan.
Bagi Maybank Islamic, ia adalah komitmen berterusan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus kemajuan. – UTUSAN










