RM230 juta diseleweng bukan dana zakat - Utusan Malaysia

RM230 juta diseleweng bukan dana zakat

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta membabitkan dua individu termasuk timbalan pengerusi sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) di Rawang tidak mempunyai kaitan dengan zakat atau mana-mana sumber daripada badan baitulmal di seluruh negara.

Sebaliknya, kes tersebut membabitkan penyalahgunaan dana yang diperoleh menerusi sumbangan orang awam untuk diserahkan kepada penerima-penerima berkelayakan termasuk golongan memerlukan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun dana yang diperolehi daripada orang awam itu digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Dalam siasatan terkini SPRM, NGO terbabit menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Bagaimanapun dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana-dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya hari ini.

Beliau menambah, siasatan masih berjalan dan pihaknya sedang memperluas skop siasatan dan komited untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungnjawaban dalam setiap proses semakan.

Semalam, akhbar ini melaporkan tiga individu termasuk daripada sebuah NGO ditahan SPRM Selangor kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.

Susulan itu, dua daripada mereka termasuk timbalan pengerusi masing-masing berusia 57 dan 61 tahun terbabit dibenarkan direman selama empat hari oleh Majistret Ameera Mastura selepas mereka dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini.

Kemudian, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd. Khaidzir Shahari menegaskan kes penyelewengan dana RM230 juta yang sedang disiasat oleh SPRM Selangor itu, tidak mempunyai kaitan dengannya.

Beliau berkata, malah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang dinyatakan itu juga tidak mempunyai kaitan dengan Zakat Selangor.

“Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi Selangor di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan sistem tadbir urus, kawal selia serta semak imbang yang menyeluruh.

“Pengurusan dana zakat turut melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan, termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana zakat diurus secara teratur dan terkawal,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN