KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM1.056 juta bagi haul 2025 daripada 17 syarikat korporat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan itu membuktikan kesedaran tinggi sektor korporat dalam menunaikan tanggungjawab zakat serta menyokong usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
Katanya, zakat perniagaan bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi pemangkin pelbagai bantuan yang memberi kesan langsung kepada masyarakat, termasuk biasiswa, sokongan modal usahawan kecil dan bantuan bulanan kepada asnaf.
“Data PPZ-MAIWP menunjukkan zakat perniagaan kini penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan dengan jumlah kutipan meningkat setiap tahun.
“Tanpa komitmen syarikat-syarikat ini, lebih 34,000 ketua keluarga asnaf mungkin tidak menerima bantuan bulanan seperti sekarang,” katanya pada Majlis Penghargaan Pembayar Zakat di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis penyerahan zakat turut disempurnakan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin yang menyampaikan plak penghargaan kepada wakil setiap syarikat.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman serta barisan pengurusan tertinggi PPZ-MAIWP.
Mohd Na’im turut menggalakkan syarikat menunaikan zakat pendapatan melalui potongan gaji kakitangan Muslim bagi memastikan bantuan zakat dapat disalurkan secara konsisten setiap bulan.
Menurutnya, syarikat yang mencapai 80 peratus penyertaan kakitangan Muslim dalam potongan zakat bulanan layak menerima kadar wakalah sehingga 37.5 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar.
“Ini peluang untuk syarikat bukan sahaja membantu asnaf di luar, malah menjaga kebajikan warga syarikat sendiri,” katanya.
Tambahnya, PPZ-MAIWP akan terus memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak, khususnya pemain industri, bagi memperkukuh kutipan dan memastikan agihan zakat memberi manfaat maksimum kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan. – UTUSAN










