PETALING JAYA: Deklarasi New York mencadangkan Hamas meletak senjata dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada pihak Berkuasa Palestin (PA) disifatkan sebagai cubaan halus menghalalkan pendudukan haram Israel serta menafikan hak rakyat Palestin.
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, prasyarat terkandung dalam deklarasi itu bercanggah dengan pendirian tegas serta dasar luar Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan Palestin berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.
“Deklarasi New York walaupun kononnya bertujuan mencapai keamanan, harus ditolak sekiranya ia mengandungi prasyarat yang secara halus mengabsahkan pendudukan haram Israel, menafikan hak rakyat Palestin, atau menormalisasi penindasan yang telah berlangsung selama lebih tujuh dekad.
“Sebarang bentuk penyelesaian tidak boleh berpaksikan kepada kepentingan kuasa besar atau kehendak rejim Zionis semata-mata, sebaliknya wajib mengambil kira hak asasi rakyat Palestin yang telah lama dinafikan,” katanya dalam kenyataan.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel mestilah bersifat tuntas dan berasaskan keadilan mutlak.
“Ini termasuk komitmen dan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang antarabangsa, serta memastikan pertanggungjawaban atas setiap pelanggaran undang-undang tersebut, khususnya oleh Israel.
“Hak pulang para pelarian, hak untuk menentukan nasib sendiri sebagaimana dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan mesti dihormati.
“Selain itu, akses penuh dan tanpa halangan terhadap bantuan kemanusiaan asas seperti makanan, ubat-ubatan, air bersih, bahan api dan perlindungan, sebagaimana termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, wajib dipastikan tanpa kompromi,” katanya.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohd. Yazid Zul Kepli berkata, Malaysia tidak berdepan implikasi undang-undang jika menolak Deklarasi New York kerana ia dianggap berat sebelah dan bercanggah dengan dasar luar negara mempertahankan hak rakyat Palestin.
Katanya, deklarasi hasil persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengandungi syarat tidak praktikal termasuk gesaan Hamas meletakkan senjata tanpa jaminan keselamatan, selain mengabaikan isu pokok seperti pendudukan haram Israel, genosid dan hak pelarian Palestin.
“Jika Malaysia menolaknya, pendirian pro-Palestin akan mengukuhkan hubungan dengan negara sealiran serta reputasi di pentas antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.









