PETALING JAYA: Cadangan mengambil jururawat dari luar negara termasuk Indonesia bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan negara seharusnya dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir dan langkah jangka pendek.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, walaupun jururawat dari negara jiran seperti Indonesia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan lebih mudah dari segi bahasa dan budaya, keutamaan harus tetap diberikan kepada jururawat tempatan.
“Dasar kita seharusnya mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta pembangunan bakat tempatan.
“Apa yang lebih penting ialah menangani punca sebenar kekurangan jururawat dan petugas kesihatan dalam sistem kita (sistem kesihatan negara),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto mencadangkan satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Dr. Kalwinder berkata, kekurangan jururawat bukan hanya isu domestik kerana permintaan terhadap profesion itu kini meningkat di seluruh dunia sehingga menyebabkan ramai jururawat Malaysia berhijrah ke luar negara demi peluang yang lebih baik.
Katanya, jika pengambilan jururawat asing tetap diteruskan, mereka perlu memenuhi segala keperluan perundangan dan peraturan sebelum dibenarkan bertugas di Malaysia.
“Justeru, kita perlu mencari kaedah untuk menarik dan menggalakkan jururawat yang dilatih di Malaysia agar terus kekal berkhidmat dalam negara.
“Antara cadangan utama termasuklah penambahbaikan dari segi keadaan kerja, ganjaran dan laluan kerjaya yang lebih jelas dan kompetitif bagi meyakinkan jururawat untuk kekal berkhidmat di tanah air,” katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, Kementerian Kesihatan perlu mempercepatkan proses pelantikan jururawat tempatan bagi mengisi kekosongan sedia ada dan bukannya mengambil dari Indonesia.
Katanya, ramai graduan jururawat tempatan masih belum dilantik sehingga ada yang telah menunggu lapan bulan tanpa sebarang tawaran lantikan tetap atau kontrak.
“Mengambil jururawat luar negara yang mungkin tidak mencapai standard yang sama berisiko menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan awam.
“Selain itu, jururawat tempatan lebih memahami budaya, agama serta sensitiviti sosial masyarakat Malaysia.
“Perbezaan ini berpotensi menimbulkan cabaran dalam komunikasi, pematuhan amalan rawatan berteraskan nilai tempatan, dan hubungan dengan pesakit serta keluarga mereka,” katanya.-UTUSAN










