PETALING JAYA: Axis Commerce menghubungkan sektor pertanian dan makanan Malaysia dengan peluang pasaran, teknologi serta pelaburan antarabangsa apabila mencatat potensi transaksi berjumlah RM216.94 juta pada Fruit Attraction 2026, di Madrid, Sepanyol.
Potensi transaksi dicapai menerusi pertukaran tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara usahawan Malaysia dengan rakan dari Sepanyol, Itali, Maghribi, Jepun dan India, merangkumi penerokaan pembangunan pasaran, pengedaran, cadangan usaha sama serta teknologi pertanian.
Diasaskan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, Axis Commerce berperanan menghubungkan sektor pertanian dan makanan Malaysia dengan peluang pasaran, teknologi serta pelaburan antarabangsa.
Pada 6 hingga 8 Oktober lalu, syarikat itu bertindak sebagai Pesuruhjaya Malaysia bagi penyertaan negara di Fruit Attraction 2026, ekspo perdagangan antarabangsa buah-buahan dan sayur-sayuran yang berlangsung di IFEMA Madrid.
Axis Commerce berkata, penyertaan itu dilaksanakan menerusi Malaysia Premium Produce Mission (MPPM), inisiatif yang menghimpunkan agensi kerajaan, pengusaha, pengeksport dan rakan industri bagi memperkenalkan produk premium Malaysia ke pasaran global.
“Antara produk yang diketengahkan di Pavilion Malaysia ialah nanas Sarawak Gold 1 (SG1), nanas MD2, nangka madu J33, buah-buahan tropika serta lada hitam premium dari Borneo.
“Tarikan utama penyertaan Malaysia ialah pelancaran rasmi nanas SG1 untuk pasaran Eropah, sekali gus memperkenalkan varieti dari Sarawak itu kepada pembeli dan rakan perdagangan antarabangsa.
“Bertemakan ‘Rooted in Sarawak. Proudly Malaysian. Ready for the World’, pengenalan SG1 mencerminkan usaha memperluas pasaran hasil pertanian tempatan serta meningkatkan pengiktirafan terhadap produk Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, antara peluang komersial yang dikenal pasti menerusi tujuh MoU itu termasuk pembangunan platform pengedaran lada hitam premium Borneo ke Eropah dan penerokaan pengedaran nanas SG1 serta MD2 Malaysia ke Maghribi.
Jelasnya, kerjasama dengan syarikat Jepun pula menyasarkan program bekalan nanas Malaysia selama lima tahun, dengan nilai komersial indikatif RM156.9 juta.
“Bagaimanapun, nilai itu merupakan unjuran potensi yang tertakluk pada permintaan pasaran, kesiapsiagaan pembekal dan persetujuan komersial.
“Selain memperluas akses pasaran, Axis Commerce turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian negara.
“Kerjasama yang diteroka merangkumi nanoteknologi, perisian pertanian, sistem kebolehkesanan produk serta penyelesaian untuk memanjangkan jangka hayat hasil segar,” ujarnya.
Tambahnya, penggunaan teknologi berkenaan berpotensi membantu meningkatkan kualiti produk, mengekalkan kesegaran dan memperkukuh kesiapsiagaan pengeksport tempatan untuk memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
“Pendekatan itu turut memberi penekanan kepada pembangunan keseluruhan rantaian nilai pertanian, daripada penyelidikan dan pembangunan sehingga produk sampai kepada pengguna,” katanya.
Menerusi prinsip ‘Appreciating Local. Understanding Global’ dan aspirasi ‘From Lab to Table. From Malaysia to the World’, Axis Commerce berhasrat merapatkan jurang antara potensi pengeluaran tempatan dengan peluang perdagangan global melalui kerjasama industri, teknologi dan perdagangan. – UTUSAN











