ANKARA: Sekurang-kurangnya 11 orang dilaporkan terkorban manakala 27 yang lain mengalami kecederaan selepas sebuah bas pelancong bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di wilayah barat Turkiye.
Insiden berkenaan berlaku berhampiran plaza tol Akhisar di sepanjang Lebuh Raya Gebze-Orhangazi-Izmir di wilayah Manisa pada pagi Ahad.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Gabenor Manisa, pihak berkuasa menerima laporan mengenai kemalangan ngeri berkenaan sejurus selepas pukul 11 pagi waktu tempatan.
Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
Media Turkiye melaporkan bahawa pemandu bas ekspres dan lori berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung nahas itu. Keadaan kesihatan mereka tidak dinyatakan.
Visual di lokasi kejadian memaparkan barisan beg mayat berwarna biru diletakkan di tepi jalan bersebelahan bas yang terbalik dan mengalami kerosakan struktur teruk di bahagian belakang.
Lori yang membawa muatan papan kayu itu turut terbalik akibat rempuhan kuat berkenaan.
Menerusi hantaran di platform X, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Mustafa Ciftci merujuk mangsa yang terjejas sebagai warganegara tempatan.
Namun, pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada terdapat warga asing dalam kalangan mangsa yang terkorban atau cedera.
Gabenor Manisa, Vahdettin Ozkan melawat lokasi kejadian ketika pasukan penyelamat bertindak mengalihkan dan membersihkan sisa bangkai kenderaan.
“Operasi di tempat kejadian kini sedang dijalankan di bawah penyelarasan Pejabat Pendakwa Raya.
“Kita terpaksa melalui pengalaman pahit ini bagi menyedari betapa kritikalnya untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya secara ketat,” tambahnya. – AGENSI











