KUALA LUMPUR: Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kilowatt-jam (kWj) ke bawah akan dikecualikan daripada pelarasan kos bahan api secara automatik (AFA) di bawah mekanisme tarif elektrik baharu yang dilaksanakan 1 Julai lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pengguna domestik terutama dalam kalangan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan kenaikan kos elektrik, selain menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah.
“Pelaksanaan AFA akan dibuat secara bulanan menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebelum ini yang dikaji setiap enam bulan.
“Namun, pengguna domestik yang menggunakan 600 kWj dan ke bawah akan dikecualikan daripada pelarasan ini secara automatik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung perubahan kepada struktur bil elektrik TNB yang tidak lagi menggunakan kadar bertahap untuk pengguna domestik termasuk memastikan keadilan kos, kecekapan penggunaan tenaga dan mengekalkan subsidi tertumpu untuk golongan B40 dan M40.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) telah memperkenalkan jadual tarif elektrik baharu pada 20 Jun lalu yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai.
Menurutnya, struktur baharu ini adalah penambahbaikan kepada struktur terdahulu dan dibangunkan berasaskan empat prinsip utama iaitu penetapan tarif yang telus, mencerminkan kos pembekalan sebenar, agihan kos yang adil dan impak minimum kepada pengguna domestik.
“Struktur tarif baharu itu turut merangkumi empat komponen iaitu caj tenaga, caj kapasiti, caj rangkaian dan caj peruncitan berbanding struktur lama yang hanya mempunyai caj tenaga dan caj minimum.
“Selain itu, kadar tarif tidak lagi berdasarkan aktiviti ekonomi tetapi ditentukan mengikut tahap sambungan voltan bagi memastikan pengguna bukan domestik dikenakan kadar mengikut kos sebenar pembekalan elektrik,” jelasnya.
Bagi memastikan rakyat terus dilindungi, kerajaan turut memperkenalkan beberapa insentif dan bantuan khusus antaranya insentif cekap tenaga kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj ke bawah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menggunakan 200 kWj ke bawah.
“Insentif ini bertujuan menggalakkan pengurusan tenaga lebih bijak dan mengelak keperluan PMKS menaikkan harga barangan atau perkhidmatan akibat tarif baharu,” katanya.
Pada masa sama, pengguna domestik yang menggunakan 600 kWj ke bawah juga dikecualikan daripada caj peruncitan sebagai bantuan langsung kerajaan untuk terus melindungi kumpulan tersebut.
“Kerajaan menjangkakan sebanyak 85 peratus pengguna domestik tidak akan terkesan dan terus dilindungi di bawah jadual tarif baharu ini,” ujarnya. – UTUSAN










