Cadang PMKS diberi tarif elektrik lebih bersesuaian

Cadang PMKS diberi tarif elektrik lebih bersesuaian

PERTEMUAN antara Steven Sim Chee Keong dengan Shamsul Ahmad, semalam bagi merangka langkah sokongan kepada PMKS yang berdepan tekanan kos semakin meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelarasan insentif atau tarif lebih bersesuaian untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan antara cadangan kerjasama strategik kerajaan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB), bagi merangka langkah sokongan berdepan tekanan kos semakin meningkat.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong dengan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad, semalam.

Pertemuan diadakan susulan krisis tenaga global ketika ini yang turut memberi kesan kepada PMKS, khususnya daripada aspek kos elektrik dan operasi harian.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memaklumkan, perbincangan memberi tumpuan kepada langkah praktikal bagi membantu PMKS mengurus kos operasi dengan lebih berkesan, memperbaiki aliran tunai serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (RE).

“Langkah ini bertujuan membantu perniagaan mengurus kos melalui kecekapan tenaga, penggunaan skim seperti Time-of-Use (ToU) serta peralihan kepada RE bagi memastikan kelangsungan operasi dalam keadaan ketidaktentuan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kerjasama juga meliputi aspek pendigitalan dan peralihan tenaga termasuk usaha memperluas akses PMKS kepada pemasangan solar melalui model pembiayaan lebih fleksibel seperti perbelanjaan modal sifar.

“Ia selaras dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta usaha mempercepat penggunaan RE.

“Kementerian dan TNB turut akan bekerjasama melalui Institut Keusahawanan Negara (Insken) bagi memperluas program latihan dan pembangunan keupayaan usahawan meliputi pengurusan kewangan serta pengembangan dan penskalaan perniagaan,” katanya.

Katanya, PMKS perlu diberi lebih banyak peluang untuk menyertai ekosistem peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk dalam sektor baharu seperti solar, kenderaan elektrik (EV), pusat data serta teknologi tenaga melalui platform seperti persidangan peralihan tenaga.

“Kementerian akan bekerjasama rapat dengan TNB untuk meneroka insentif bersasar serta memperluas kesedaran bagi memastikan lebih ramai PMKS dapat memanfaatkan inisiatif ini.

“Dengan menggabungkan pengurusan kos dan peluang peralihan tenaga, kita mahu memastikan PMKS kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia berkembang ke pasaran baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN