PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula beberapa saksi termasuk bekas pengarah bebas Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memberi penjelasan lanjut berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam dan penswastaan syarikat tersebut.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu dibuat selepas PAC meneliti hansard keterangan saksi-saksi terdahulu dan mendapati masih terdapat beberapa persoalan yang belum terjawab sepenuhnya.
“PAC telah mengadakan sebanyak 16 prosiding berhubung isu ini dan akan diteruskan dengan memanggil beberapa lagi saksi yang berkepentingan bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan kenyataan yang dibuat oleh Naib Pengerusi PAC, Teresa Kok dan Ahli Jawatankuasa PAC, Sim Tze Tzin semalam adalah kenyataan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi jawatankuasa.
“Semua dapatan, perbincangan dan dokumen yang dikemukakan dalam prosiding PAC adalah tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat 85, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sepatutnya didedahkan kepada media oleh mana-mana pihak,” ujarnya.
Mas Ermieyati turut merakamkan penghargaan kepada semua saksi yang telah memberikan kerjasama sepanjang prosiding dijalankan.
Katanya lagi, PAC masih belum memuktamadkan sebarang rumusan atau syor berkaitan prosiding itu.
“Selepas semua prosiding selesai, PAC akan mengadakan mesyuarat penyediaan laporan untuk menghasilkan rumusan serta syor sebelum dikemukakan kepada kerajaan dan dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya.
Semalam media melaporkan, prosiding PAC berhubung isu penjualan saham dan penswastaan MAHB berjalan lancar dengan kerjasama baik daripada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, sesi keterangan tersebut merupakan sebahagian daripada prosiding berkaitan Pengurusan Lapangan Terbang Awam yang melibatkan Kementerian Kewangan (MOF), MAHB, Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebelum ini, PAC turut memanggil beberapa individu penting termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), Lee Jim Leng; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Nik Amlizan Mahamed; serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Turut dipanggil ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Fad’l Mohamed, dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Zain Azhari Mazlan, yang hadir mewakili Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi. – UTUSAN










