GLC perlu teliti pelaburan syarikat pemula

GLC perlu teliti pelaburan syarikat pemula

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat ber­kaitan kerajaan (GLC) perlu meneliti semula kerangka penilaian pelaburan masing-ma­sing, khususnya membabitkan syarikat pemula (startup) atau pelaburan berisiko tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, isu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Menurutnya, proses usaha wajar atau due diligence dan penilaian pelaburan perlu di­perkukuh terutama apabila pelaburan berkenaan melibatkan wang awam.

“Kes ini perlu kita jadikan pengajaran penting kepada KWAP dan juga tidak terlepas kepada GLC-GLC yang lain.

“Proses due diligence serta penilaian pelaburan mestilah diperkukuh dan diberi perhatian, terutama sekali untuk pelaburan berisiko tinggi yang melibatkan syarikat teknologi ataupun syarikat belum matang seperti startup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan KWAP telah menjadi mangsa penipuan kira-kira RM200 juta oleh sebuah syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.

Syarikat yang memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan itu turut menjerat beberapa institusi pelaburan antarabangsa terkemuka termasuk Temasek Holdings (Si­ngapura), SoftBank (Jepun), 42XFund (Emi­riah Arab Bersatu) dan North­star Group (Singapura).

Menurut Mas Ermieyati, pelaburan menggunakan wang awam perlu melalui semakan lebih ketat, telus dan berasaskan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, GLC tidak semestinya perlu mengelak daripada melabur dalam syarikat pemula kerana sektor itu penting untuk menyokong pertumbuhan syarikat baharu termasuk diasaskan anak muda.

“GLC boleh melabur dalam startup yang baru bermula tetapi perlu melalui semakan yang lebih ketat.

“Kalau kita terlalu ketat sehingga GLC tidak boleh melabur kepada startup, matilah startup. Kita memang perlukan banyak syarikat startup, terutama melibatkan anak muda yang mempunyai pelbagai idea kreatif,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan utama perlu diberikan kepada aspek pemantauan, semakan bebas dan prosedur operasi standard (SOP) lebih kukuh dalam membuat keputusan pelaburan.

Katanya, antara kelemahan perlu diberi perhatian adalah kebergantungan terhadap maklumat yang dibekalkan syarikat tanpa pengesahan bebas mencukupi.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk semua GLC dan dana berkaitan kerajaan menye­mak semula kerangka penilaian pelaburan mereka.

“Ini termasuk memperkukuhkan independent due diligence, audit forensik terutama bagi pelaburan berisiko tinggi dan mewujudkan sistem amaran awal,” katanya.

Tambahnya, akauntabiliti ter­hadap setiap keputusan pe­laburan juga perlu diperjelas bagi memastikan pihak bertanggungjawab tidak terlepas daripada penelitian, sekiranya berlaku kelemahan atau kerugian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN