PETALING JAYA: Kegiatan seorang lelaki yang menjadikan dua kediaman di Segambut sebagai tempat simpanan kosmetik tiada kelulusan Kementerian Kesihatan terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, Rabu lalu.
Lelaki itu bersama dua lagi wanita warga asing dikesan turut menjual barangan kosmetik tidak berkelulusan itu di media sosial.
Dalam serbuan Op Taring Bravo 3 bermula 12.10 hingga 12.30 tengah hari oleh dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, ketiga-tiga mereka turut ditahan dengan barangan rampasan bernilai RM185,515.
Pengarah KDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan dijalankan bersama pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pasukan pegawai penguatkuasa daripada Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, operasi terbabit melibatkan serbuan dilakukan ke atas dua kediaman yang terletak di Segambut telah menahan lelaki berusia 40 tahun yang juga pemilik premis bersama dua wanita warga asing berusia 28 dan 30 tahun.
“Hasil pemeriksaan di premis pertama, pasukan serbuan merampas sebanyak 1,972 kotak dan 2,551 botol pelbagai jenis produk kosmetik serta produk makanan tambahan yang tidak mempunyai kelulusan disimpan di dalam premis terbabit.
“Seterusnya, pemilik premis membawa pasukan serbuan bagi membuat pemeriksaan ke atas premis kedua. Hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 180 kotak dan 895 botol pelbagai jenis produk kosmetik yang tidak mempunyai kelulusan,” katanya dalam kenyataan.
Azmi berkata, produk kosmetik dan makanan tambahan ini dipercayai disimpan bagi tujuan jualan dalam talian melalui platform media sosial.
“Siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mengikut Peraturan 18a peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984, Peraturan 7(1)(a) peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984,” katanya.
Beliau berkata, DBKL turut mengeluarkan satu notis mengikut Seksyen 26(1)(a) Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) (akta 267) ke atas pemilik kerana menukar kegunaan bangunan dari kediaman kepada dagangan.
“Operasi ini dilancarkan bagi memutuskan rantaian pengedaran haram sebarang produk-produk kesihatan dan makanan yang tidak mempunyai kelulusan bagi melindungi integriti pasaran farmaseutikal yang sah selain membanteras ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan pengguna.
“Pihak polis memberi amaran kepada pengendali platform laman sosial dan dagangan atas talian untuk memantau aktiviti jualan di platform masing-masing agar tidak menjual peralatan atau barang-barang yang menyalahi undang-undang.
“Orang awam juga dinasihatkan agar segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya terkesan sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.- UTUSAN









