PETALING JAYA: Mesej ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ di antara nama dikenali ‘Baby Manja’ dan ‘Sayang’ adalah satu gurauan antara suami dan isteri tanpa sebarang niat jahat.
Selain itu, mesej ‘haish, stres nak mati’, ‘budak ni elok je tak ada pun aku pukul pun sebenarnya’ dan ‘aku tepuk punggung masing-masing je tetapi aku cakap perkataan belasah sebab aku tengah geram dan marah sangat-sangat’ sekadar luahan emosi dan tidak berniat jahat.
Saksi pembelaan kelima, Pakar Psikologi Kanak-kanak, Dr. Noor Aishah Rosli, 49, berkata demikian semasa sesi pemeriksaan utama peguam bela, Haresh Mahadevan pada prosiding bela diri Ismanira Abdul Manaf.
“Ayat-ayat yang digunakan dalam mesej ini adalah satu benda yang menunjukkan perhubungan suami isteri itu. Perbualan ini menampakkan luahan perasaan masing-masing terutama isteri.
“Saya katakan gurauan kasar. Walaupun kita tengok perkataan itu mungkin agak kasar tapi ia hanyalah bersifat atas permukaan sahaja. Hanya cakap-cakap kosong yang tidak serius, sekadar untuk meluahkan emosi,” katanya ketika diminta memberikan komen klinikal terhadap beberapa mesej antara suami isteri itu.
Pada prosiding sebelum ini, Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin dalam keterangan bela dirinya menyatakan ‘Manja’ adalah gelaran yang diberikan bagi nombor telefon bimbit Zaim Ikhwan Zahari manakala ‘Baby Sayang’ adalah gelaran bagi nombor telefon miliknya.
Saksi pendakwaan ke-25, Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer PDRM, Asisten Superintenden Mohd. Zaidi Abu Hassan ketika memberi keterangan memberitahu antara mesej yang diekstrak daripada telefon bimbit ‘Manja’ dan ‘Baby Sayang’ adalah “Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je,’ ‘Hang belasah je la sampai puas’ dan ‘Lantaklah nak hidup ke nak mati.’
Tambah Noor Aishah yang mempunyai kliniknya sendiri, penggunaan ayat antara suami isteri itu dilihat normal terutama untuk mendapatkan perhatian daripada pasangan masing-masing.
“Pun begitu, untuk next #9 (merujuk eksibit) itu, dia pun kembali rasional, mengatakan tak ada buat apa pun, tak terkasar pun dengan budak-budak. Just tepuk biasa sahaja, tepuk punggung.
“Ayat-ayat ini adalah normal dialami seorang ibu yang menjaga dua orang anak-anak autisme.
“Daripada pandangan psikologi, (kita) tidak boleh mengangkat dua ayat ini sebagai satu niat untuk melakukan jenayah dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, saksi dengan pengalaman selama 17 tahun itu turut menolak cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz sewaktu disoal balas tentang penilaian terhadap Zayn Rayyan hanya berdasarkan penilaian dibuat terhadap Ismanira.
Aqharie: Dalam kes ini, penilaian doktor terhadap pesakit Zayn ini berdasarkan penilaian yang doktor buat terhadap Isma?
Noor Aishah: Saya tidak setuju Yang Arif.
Aqharie: Minda Isma, behavior (tingkah laku) Isma, itu adalah asas penilaian terhadap Zayn yang doktor buat.
Noor Aishah: Saya langsung tak setuju Yang Arif.
Aqharie: Okey doktor, jika doktor tidak pernah bertemu dengan kanak-kanak itu, penilaian doktor lebih sesuai sebagai pendapat profesional berdasarkan dokumen dan maklumat sekunder. Setuju?
Noor Aishah: Saya tak setuju Yang Arif.
Aqharie: Saya cadangkan ianya bukan diagnosis klinikal secara langsung.
Noor Aishah: Setuju.
Aqharie: Saya cadangkan ia bukan diagnosis klinikal secara langsung.
Noor Aishah: Saya langsung tak setuju.
Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan dilepaskan dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Pasangan itu sebelum ini bersama-sama didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.-UTUSAN










