GEORGE TOWN: Sebanyak 280 projek pembangunan Persekutuan di Pulau Pinang dengan kos keseluruhan RM33.22 bilion telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 44 merupakan projek baharu manakala 236 lagi merupakan projek sambungan dengan peruntukan RM2.68 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan berkenaan pada 2027.
“Daripada 44 projek baharu itu pula, ia melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM578.29 juta dengan peruntukan sebanyak RM63.71 juta bagi tahun 2027,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, empat daripada projek baharu berkenaan merupakan projek keutamaan negeri yang dikemukakan kerajaan negeri Pulau Pinang pada Februari lalu.
“Empat projek itu membabitkan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kelang Ubi di Seberang Perai Tengah; menaik taraf Jalan Bukit Tambun FT149 dari persimpangan Jalan Persekutuan FT001 ke persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.
“Dua lagi projek ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Perai (Fasa 2) di Seberang Perai Tengah dan pemetaan serta pembangunan sumber air bawah tanah di Pulau Pinang,” katanya.
Kon Yeow berkata, empat projek berkenaan membabitkan kos keseluruhan RM96.95 juta dengan peruntukan RM2.2 juta bagi 2027.
“Selain itu, satu lagi projek keutamaan negeri yang dikemukakan, iaitu Penang STEM Talent Blueprint, telah diluluskan lebih awal di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), RMK13, dengan kos projek RM12.3 juta,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menghargai pertimbangan dan kelulusan yang diberikan terhadap projek pembangunan berkenaan serta akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan turut merangkumi usaha merealisasikan penubuhan Penang Technology Financial Centre (PTFC) yang dirancang sebagai pusat kewangan teknologi negara.
Dalam hal ini katanya, PTFC dijangka menyumbang RM12.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyokong lebih 71,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun akan datang. – UTUSAN











