Ismanira menangis diperintah bela diri

Ismanira menangis diperintah bela diri

Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin tidak dapat menahan sebak selepas diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengabaikan anak autismenya.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin tidak dapat menahan sebak selepas diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengabaikan anak autismenya itu, dua tahun lalu.

Tertuduh kedua, Ismanira Abdul Manaf dilihat mengalirkan air mata sebelum ditenangkan oleh ahli keluarga sejurus mahkamah ditangguhkan seketika selepas Hakim Dr. Syahliza Warnoh membaca keputusannya.

Sementara itu, Zaim Ikhwan Zahari dibebaskan daripada pertuduhan sama dilihat duduk dengan tenang tanpa cuba menenangkan isterinya yang dalam kesedihan.

Dalam keputusannya, Syahliza berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira yang juga tertuduh kedua dalam kes berkenaan.

“Setelah mendengar dan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, (membuat) penilaian secara maksimum bersama eksibit-eksibit yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua, Ismanira,

“Dengan ini, tertuduh diberi pilihan sama ada memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi atau memberikan keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh,” katanya.

Ismanira kemudian memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi yang berlangsung pada hari sama. Pilihan tersebut membolehkan pihak pendakwaan menyoal balas wanita itu.

Terdahulu, mahkamah melepas dan membebaskan suaminya, Zaim Ikhwan selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

“Bagi tertuduh pertama, Zaim Ikhwan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen pengabaian dan niat bersama.

“Dengan ini, tertuduh pertama dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×