PASIR MAS: Pengusaha katerer yang menyebabkan pelajar dan kakitangan di sebuah kolej di sini keracunan makanan, didapati tidak mendaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, maklumat tersebut hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan pihaknya ke atas pengusaha berkenaan.
Katanya, pemeriksaan mendapati katerer tersebut dipercayai baru memulakan perkhidmatan.
“Susulan itu, JKNK mengarahkan katerer tersebut untuk menutup operasi selama seminggu.
“Penutupan sementara itu bagi pemeriksaan premis yang digunakan oleh katerer untuk menyediakan makanan tersebut diperiksa,” katanya selepas Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam (OSKA) Siri 7/2025 di Dewan Iltizam Pejabat Kesihatan Pasir Mas, di sini hari ini.
Dr. Zaini berkata, semua pengendali makanan dan katerer perlu berdaftar dengan KKM bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan yang disediakan terjamin.
Kata beliau, wabak keracunan makanan di kolej tersebut sudah terkawal.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 343 individu mengalami keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada gulai ayam. Kesemua individu terlibat itu terdiri daripada penuntut baharu ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan orientasi sebuah kolej di sini. – UTUSAN











