Harapan rakyat

Harapan rakyat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tangani kenaikan kos sara hidup, naikkan gaji minimum, wujudkan lebih ba­nyak peluang pekerjaan dan perluas pemberian subsidi secara bersasar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu antara harapan rakyat kepada kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 hari ini.

Selain itu, mereka turut mahukan supaya kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman tan­pa faedah untuk memulakan perniagaan, bantuan awal sementara mendapat pekerjaan tetap.

Mereka juga mengharapkan bantuan pemilikan rumah kediaman pertama.

Manakala graduan pula mengharapkan kerajaan mempertimbangan bantuan peru­mahan khas untuk mahasis­wa yang tidak mendapat kemudahan kolej kediaman dan ber­depan harga sewa rumah atau bilik yang tinggi.

Pekerja gig pula mahukan kerajaan mewujudkan kerangka pendapatan bersih yang adil dan mampan, selain memperkukuh sistem perlindungan sosial bersepadu merangkumi simpanan persaraan dan penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, kelayakan bantuan dan subsidi dalam Belanjawan 2027 perlu ditentukan berdasarkan kemampuan sebenar isi rumah dengan mengambil kira pendapatan, bilangan tanggungan, lokasi tempat tinggal serta perbelanjaan asas yang munasabah.

Katanya, pendapatan kasar sahaja tidak menggambarkan keadaan kewangan sesebuah keluarga terutama selepas membayar perbelanjaan rumah, makanan, pengangkutan, penjagaan anak, kesihatan dan keperluan ibu bapa, keluarga yang kelihatan berkemampuan di atas kertas mungkin mempunyai baki pendapatan sangat kecil.

“Kerangka ini perlu digunakan untuk menentukan kelaya­kan bantuan dan subsidi dengan lebih tepat. Matlamatnya ialah memastikan keluarga yang benar-benar terhimpit mendapat sokongan walaupun berada di luar kategori B40,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman pula berkata, kemudahan pinjaman tanpa faedah perlu ditawarkan kepada peniaga kecil supaya mereka dapat memperoleh bantuan kewangan tanpa dibebani kos tambahan ketika membuat bayaran balik.

Katanya, jumlah kemudahan pembiayaan dan jaminan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kini mencecah RM60 bi­lion wajar ditingkatkan kepada RM62 bilion bagi merancakkan aktiviti perniagaan khususnya dalam kalangan peniaga kecil di seluruh negara.

“Masih banyak projek pembangunan yang bertujuan menyediakan tempat perniagaan kepada golongan peniaga, namun sebahagiannya masih terbengkalai. Kami berharap peruntukan lebih besar dapat disalurkan bagi membantu meningkatkan ekonomi golo­ngan ini,” katanya.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin pula mahu Belanjawan 2027 memperkukuh perlindungan sosial pekerja gig, mewujudkan kerangka pendapatan bersih yang adil serta mengurangkan kos be­kerja sambil membuka peluang meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.

Beliau berkata, perlindu­ngan sosial perlu menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, penyedia platform dan pekerja supaya beban tidak diletakkan secara tidak seimbang kepada pekerja secara individu.

“Bagi mengurangkan kos bekerja, GEM mencadangkan bantuan bersasar melalui Program Sokongan Mobiliti Gig yang meliputi penyelenggaraan kenderaan, tayar, bateri, pembaikan besar, insurans, pembiayaan serta peningkatan kecekapan penggunaan bahan api.

“Pada masa sama, soko­ngan literasi kewangan, kemahiran digital dan keusahawanan perlu diperkukuh supaya pekerja gig dapat membina perniagaan, memiliki aset serta mewujudkan sumber pendapatan tambahan tanpa perlu meninggalkan ekonomi gig,” katanya.

Exco Sukarelawan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Dzul Ehsan Sahriff pula mahu kerajaan mempertimbangkan bantuan perumahan khas untuk mahasiswa yang tidak mendapat penempatan kolej kediaman dan terpaksa menyewa di luar kampus dalam usaha meringankan beban kewangan golongan ber­kenaan.

“Bentuk bantuan itu boleh dilaksanakan menerusi subsidi sewa secara bersasar, elaun perumahan bulanan atau bantuan sekali bayar pada permulaan tempoh sewaan.

“Yang lebih penting ialah bantuan tersebut benar-benar sampai kepada mahasiswa yang memerlukan dan mengambil kira faktor seperti pendapatan keluarga, jarak tempat tinggal dengan kampus serta kos sewa di kawasan universiti,” katanya.

Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) juga berharap Belanjawan 2027 dapat memberi perhatian kepada keperluan, khususnya dalam menangani peningkatan kos sara hidup, bantuan pendidikan serta peluang pekerjaan selepas tamat pengajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini