Pokok bonsai kelapa beri rezeki

Pokok bonsai kelapa beri rezeki

MOHD. Zulkifli Hasan Basri menggubah bonsai kelapa bentuk kerengga di kediamannya di Kampung Perepat, Kapar, Klang, Selangor. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Bermula sebagai sekadar hobi untuk mengisi masa lapang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini bertukar menjadi sumber pendapatan tetap buat Mohd. Zulkifli Hasan Basri, 40, apabila dia berjaya menghasilkan lebih 300 pokok bonsai kelapa di Kampung Perepat, Kapar.

Mohd. Zulkifli berkata, minatnya terhadap bonsai kelapa tercetus selepas secara tidak sengaja menonton video mengenai tanaman hiasan itu di media sosial.

Terpesona dengan keunikan bentuknya, dia mula mempelajari teknik pembuatannya melalui internet sebelum melakukan percubaan pertama menggunakan kelapa tua yang dikutip di sekitar kampungnya.

“Saya buat hanya untuk suka-suka, sebagai hiasan di halaman rumah, tetapi bila saya berjaya hasilkan bentuk bonsai yang menarik, ramai pula yang tanya dan mahu beli. Daripada situ saya nampak potensi untuk dijadi sebagai sumber rezeki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Permintaan terhadap bonsai kelapa hasil tangannya datang dari pelbagai negeri seperti Johor, Kedah dan Perak, menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan yang semakin berkembang.

Pelbagai bentuk bonsai kelapa unik dihasilkannya dan antara unik ialah berbentuk seperti kerengga dan bercabang dua.

Setiap pokok dijual dengan harga antara RM200 hingga RM500, bergantung kepada usia dan tahap kreativiti gubahan.

Mohd. Zulkifli mengambil masa antara enam bulan hingga setahun untuk membuat kelapa bonsai yang dibentuk dengan sempurna.

Antara kelapa sesuai dijadikan bonsai ialah kelapa kampung, kelapa matag dan kelapa gading.

Mengenai aspek penjagaan, Mohd. Zulkifli berkata penjagaan bonsai tidak sukar, cuma perlu pastikan ia tidak terlalu terdedah kepada cahaya matahari.

“Pemantauan juga penting untuk elakkan pokok membesar melebihi saiz diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN