PETALING JAYA: Seramai 48,636 murid tahun satu gagal menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, angka itu menunjukkan pengurangan berbanding 2023 dan 2024 yang mencatatkan 76, 262 serta 49, 677 orang.
Katanya, penurunan itu hasil pengenalan program inisiatif Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi serta Program Intervensi Tahun Satu pada 2024.
“Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tiada murid terutama daripada golongan berpendapatan rendah atau golongan miskin tegar yang akan tercicir daripada menerima akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosio ekonomi mereka.
“Justeru, kementerian memperkenalkan pelbagai inisiatif berterusan menerusi intervensi bersasar dilaksanakan sebagai pelan jangka panjang demi merapatkan jurang pencapaian murid di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Kurniawan Naim Moktar (BN- Kinabatangan) mengenai pelan tindakan strategi mengurangkan baki murid miskin tegar multidimensi yang menghadapi krisis keciciran jangka panjang.
Kah Woh berkata, kerajaan turut melaksanakan Program Transformasi Daerah (DTP) yang memberi tumpuan khusus kepada usaha mengurangkan jurang keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan faktor lokasi, jantina dan status sosioekonomi.
“Bagi tahun 2025, pelaksanaan intervensi berfokus itu melibatkan sebanyak 744 buah sekolah serta 41,817 calon SPM bagi enam mata pelajaran teras.
“Inisiatif tersebut membuahkan hasil positif apabila jurang gred purata SPM antara sekolah bandar dan luar bandar berjaya dirapatkan sebanyak 32.9 peratus berbanding pencapaian pada 2012.
“Trend peningkatan itu turut menyaksikan jurang kadar layak mendapat sijil mengikut jantina semakin mengecil daripada 5.95 peratus pada 2024 kepada 5.32 peratus pada 2025,” jelasnya
Kah Woh berkata, prestasi calon SPM di kawasan luar bandar terus mencatatkan lonjakan membanggakan apabila peratusan mereka yang layak menerima sijil meningkat kepada 92.90 peratus pada 2025 berbanding 92.31 peratus pada tahun sebelumnya.-UTUSAN











