Jualan lemang tetap laris walaupun PKP - Utusan Malaysia

Jualan lemang tetap laris walaupun PKP

AZLYNA Shazlin Johari memasukkan santan ke dalam buluh lemang di gerai Lemang Manong di Taman Meru 2C, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jualan Lemang untuk sambutan Aidiladha tidak begitu terjejas meskipun permintaan lemang untuk sambutan perayaan itu tidak semeriah seperti dua tahun lalu.

Tinjauan di Jalan Jelapang berhampiran Taman Meru 2C mendapati, beberapa gerai jualan lemang yang didirikan di tepi jalan dipenuhi deretan lemang yang sedang dibakar.

Seorang peniaga, Alyna Shazlin Johari, 25, mengakui, tempoh dua tahun sejak pandemik Covid-19 menyebabkan jualan lemangnya merosot berbanding dahulu.

Katanya, sebelum ini, jualan lemang di gerainya pernah mencecah sehingga 6,000 batang dengan harga jualan antara RM15 hingga RM25 bergantung kepada saiz.

“Sejak Covid-19, kami mengurangkan jumlah lemang iaitu sekitar 3,000 batang sahaja. Dulu, jualan laris kerana orang ramai membuat tempahan untuk rumah terbuka tetapi sekarang tiada,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini semalam.

Menurutnya, perniagaan lemang itu telah diusahakan keluarganya sejak 20 tahun lalu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Katanya, pembeli pula bukan hanya melibatkan penduduk setempat malah ada yang datang dari Batu Gajah, Simpang Pulai, Pengkalan dan Sungai Siput.

“Sebelum Covid-19, memang seronok berniaga sebab kadang-kadang pukul 2 ke 3 pagi pun masih ada yang datang beli, cuma sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita tutup kedai lebih awal iaitu pukul 10 malam.

“Disebabkan waktu operasi yang agak singkat, kita terpaksa mula bakar lemang pada pukul 7 pagi. Bagi raya Aidiladha kali ini, saya buka gerai sehingga raya kedua,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Ismail Hashim Hamid, 50, berkata, meskipun tiada pergerakan rentas daerah dan negeri dibenarkan untuk perayaan Aidiladha, ia tidak menjejaskan jualan lemang di gerainya.

Malah katanya, jualan dilihat lebih laris meskipun orang ramai hanya duduk di rumah.

“Sambutan masih baik walaupun PKP, tidaklah sunyi pun. Orang ramai beli untuk makan-makan di rumah.

“Untuk raya kali ini, dianggarkan 1,000 batang lemang akan dibakar. Setiap batang lemang dijual antara RM15 ke RM18 bergantung kepada saiz dan ketinggian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN