Mental rakyat kritikal - Utusan Malaysia

Mental rakyat kritikal

Taman permainan lokasi beriadah untuk keluarga. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan men­tal yang dihadapi rakyat sema­kin membimbangkan apabila 89.4 peratus daripada 122,328 panggilan ke Talian Bantuan So­kongan Psikososial Kementerian Kesihatan berkait rapat dengan kesan ‘terkurung’ akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang ta­hun ini.

Berdasarkan panggilan di­te­ri­ma sejak 1 Januari sehingga 18 Jun lalu, tekanan itu melibatkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga (pertengkaran, perpisahan, perceraian) selain penderaan (emosi dan fizikal).

Malah lebih membimbangkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan seba­nyak 1,738 kes bunuh diri se­jak 2019 hingga Mei lalu ma­nakala sta­tistik penderaan ka­nak-kanak juga bertambah apabila mencatatkan 2,040 kes dalam tem­poh empat bulan pertama tahun ini.

Peningkatan jangkitan Co­vid-19 semalam iaitu 9,180 kes iaitu, tertinggi sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu dijangka mempengaruhi tekanan mental apabila rakyat terus dihalang untuk bergerak bebas dan bakal hilang punca pendapatan kerana dibuang kerja dengan berterusan sekatan penuh pergerakan.

Bercakap kepada Utusan Ma­­laysia, Pakar Kesihatan Ko­muniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sha­rifa Ezat Wan Puteh berkata, statistik itu dilihat serius berbanding awal pandemik Co­vid-19 melanda dan wajar diberi perhatian oleh kerajaan khususnya serta masyarakat si­vil.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila terdapat rakyat Malaysia mengambil langkah mudah yang tidak masuk akal sehingga bertindak di luar norma kehidupan manusia.

“Terdapat tiga faktor perkara ini berlaku yang pertama adalah tidak bebas bergerak ke sana sini hingga mereka terkurung di dalam rumah untuk tempoh berbulan-bulan.

Kea­daan ini lebih serius di kawasan rumah flat apabila keluasan rumah agak sempit.

“Keduanya, hilang mata pencarian apabila dibuang kerja dan dibebani pelbagai hutang. Satu lagi adalah kerana tidak dapat menerima kebiasaan baharu dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat,” katanya.

Justeru beliau berkata, pembukaan sektor ekonomi dengan SOP ketat merupakan jalan keluar krisis tekanan rakyat di samping melonggarkan sedikit sekatan pergerakan.

Tambahnya, kebenaran membuka masjid dan surau di beberapa negeri adalah tepat pada masanya bagi memastikan rakyat dapat bergerak untuk menunaikan ibadah di luar rumah dengan pematuhan SOP lebih ketat.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Dr. Firdaus Abdul Ghani mencadangkan sektor sukan tidak bersentuhan seperti aktiviti riadah wajar dibenarkan semasa PKP Diperketatkan (PKPD) termasuk membuka taman awam.

Jelas beliau, Majlis Kese­lamatan Negara (MKN) perlu mengeluarkan SOP ketat sekiranya mahu perkara itu dibenarkan bagi mengelak jangkitan walaupun tiada kluster membabitkan aktiviti berke­naan.

“Aktiviti yang kurang risiko jangkitan seperti jogging dan aktiviti riadah secara sendirian boleh mula dibenarkan sebagai satu mekanisme menghilangkan masalah tekanan.

“Ini secara tidak langsung membolehkan masyarakat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan tidak rasa terkurung. Mungkin perlu disediakan garis panduan tentang aktiviti yang dibenarkan serta kekalkan arahan yang sama bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Kerajaan sebelum ini meng­umumkan pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur bermula Sabtu lalu susulan peningkatan jangkitan virus Covid-19.

Susulan pelaksanaan tersebut, beberapa aktiviti tidak dibenarkan termasuk aktiviti sukan dan rekreasi berban­ding PKP sebelum ini, malah beberapa taman awam ditutup hampir dua bulan walaupun tiada rekod kluster melibatkan sektor sukan dan rekreasi.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang turut menzahirkan pandangan sama berkata, aktiviti sukan mampu mengurangkan masalah tekanan jiwa dan tidak menolak kemungkinan membuka taman awam di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya rasa patut buka taman awam. Tetapi kuasa pada MKN, bukan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail pula berkata, kerajaan perlu segera membuka pusat pemberian vaksin (PPV) di semua sektor perkilangan kerana kluster kilang dipercayai menjadi penyumbang tertinggi kes positif Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu membekalkan vaksin Covid-19 dan segala kos pembeliannya ditanggung oleh kilang-kilang.

“Pihak kilang perlu menyediakan lokasi khas PPV untuk setiap pekerjanya mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan membuat pemeriksaan. Mereka juga perlu menanggung kos sukarelawan, doktor, pihak farmasi, jururawat yang akan bertugas di PPV berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN