KUALA LUMPUR: Penghadang besi yang digunakan bagi mengurangkan impak kenderaan kemalangan di lebuh raya menetapi piawaian antarabangsa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tanpa penghadang besi itu, situasi kenderaan yang hilang kawalan mungkin menjadi lebih teruk.
“Penghadang jalan itu memang mematuhi standard antarabangsa. Oleh kerana itu Malaysia menggunakan penghadang besi tersebut.
“Sekiranya tiada penghadang itu dan jika berlaku situasi kereta hilang kawalan dan terbabas, kenderaan tersebut akan jatuh ke gaung.
“Jadi kita tidak boleh melihat penghadang besi ini sebagai sesuatu yang tidak baik kerana ia terbukti menetapi taraf antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), semalam.
Sementara itu, Pensyarah Pengangkutan dan Logistik, Jabatan Teknologi dan Pengurusan Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Harlina Suzana Jaafar berkata, kebanyakan negara maju sudah tidak menggunakan penghadang jalan berkenaan.
Beliau memberikan contoh di Korea Selatan yang menggunakan Rolling Barrier iaitu alat keselamatan yang direka untuk mengelakkan kemalangan maut bagi pemandu dan penumpang dengan cara menyerap tenaga hentakan atau menukar tenaga hentakan kepada tenaga putaran.
“Ciri-ciri utama alat ini sangat sesuai digunakan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan. Ia membantu mengembalikan kenderaan ke laluan asal atau menghentikan sepenuhnya dengan menyerap tenaga hentakan melalui penggelek berputar semasa kemalangan.
“Ia juga mudah dilihat oleh pemandu kerana warnanya yang terang dan kebolehannya untuk bercahaya sendiri serta dapat mengurangkan kecederaan dan kerosakan kenderaan dengan menyerap hentakan pelanggaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini sebelum in melaporkan kerajaan sedia mengkaji semula penggunaan penghadang besi di sepanjang lebuh raya dan jalan utama negara ini yang dipersoalkan tahap keselamatannya kerana struktur itu boleh mengancam keselamatan pengguna.
Penghadang besi yang digunakan di negara ini dikatakan berasaskan reka bentuk lama yang tidak mengikut piawaian keselamatan moden di negara maju, selain dipasang di lokasi tidak sesuai seperti di selekoh tajam atau kawasan cerun tanpa kajian impak keselamatan lengkap.
Semasa tragedi bas persiaran yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu, besi penghadang yang terletak di tepi laluan lokasi nahas menembusi bahagian badan bas berkenaan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nordiana Mashros turut mencadangkan pemasangan lampu amaran berkedip (flashing beacons) sebelum dan di selekoh tajam, lampu solar di lokasi strategik untuk kawasan yang sangat gelap, cat pemantul (retroreflective) berprestasi tinggi di garisan jalan dan penghadang jalan (guardrails).
Katanya, penambahbaikan tanda amaran berjarak progresif perlu dilakukan, contohnya, papan tanda amaran selekoh dengan jarak yang diingatkan secara bertahap, contohnya bagi jarak 500, 200 dan 50 meter.
“Penggunaan lampu amaran solar dan sistem pandu arah visual dinamik terbukti berkesan mengurangkan kemalangan pada waktu malam di laluan pergunungan dan kawasan berisiko tinggi seperti yang digunakan di Jepun dan New Zealand,” jelasnya. – UTUSAN










