PETALING JAYA: Bas yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipandu pada kelajuan 115 kilometer sejam di kawasan had laju maksimum 60 kilometer sejam.
Menurut laporan akhir pasukan petugas khas siasatan tragedi itu, kegagalan sistem brek dan tindakan pemanduan dikenal pasti sebagai punca kemalangan maut itu yang berlaku di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), pada Jun tahun lalu.
Katanya, penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan suhu brek meningkat secara mendadak, seterusnya mengurangkan keupayaan sistem brek.
“Analisis kinematik bersama rakaman kamera papan pemuka daripada sebuah kenderaan lain menganggarkan bas berkenaan memasuki selekoh pada kelajuan 114.7 kilometer sejam.
“Gabungan kegagalan brek dan kelajuan berlebihan menyebabkan bas hilang kestabilan sebelum tergelincir dan terbalik,” menurut laporan itu dikeluarkan Kementerian Pengangkutan semalam.
Siasatan mendapati, bas terbabit menghentam penghadang besi tepi jalan raya yang kemudian menembusi ruang dalam mengakibatkan kecederaan parah serta kematian para penumpang.
Laporan itu berkata, secara keseluruhan siasatan mendapati bahawa kemalangan itu berpunca daripada gabungan mekanikal, manusia dan persekitaran.
“Kegagalan sistem brek bas digabungkan dengan pemanduan pada kelajuan melebihi had selamat telah menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan.
“Keadaan jalan yang mencabar, kelemahan reka bentuk dan pemasangan penghadang jalan, serta kegagalan struktur kabin bas telah meningkatkan impak dan kecederaan yang menyumbang kepada insiden tragis ini,” katanya.
Dalam pada itu, laporan itu mengemukakan syor kepada kerajaan antaranya penambahbaikan infrastruktur jalan, pematuhan operasi dan penggunaan teknologi keselamatan.
Dalam aspek infrastruktur, pihak berkuasa disaran mengkaji semula dan menaik taraf penghadang jalan di laluan berbukit selain mempertingkat penandaan jalan dan papan tanda amaran.
“Kajian lokasi berisiko dan pemasangan sistem penguatkuasaan automatik (AWAS) turut dicadangkan bagi memberi kesan pencegahan awal di laluan berbahaya,” katanya.
Laporan mencadangkan penggunaan teknologi pemantauan bersepadu, peranti had laju dan kamera digalakkan bagi mengesan corak pemanduan berisiko serta mencegah kegagalan sistem lebih awal. – UTUSAN










