PETALING JAYA: Setelah 37 hari menunggu dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menerima khabar gembira apabila seorang rakyat Malaysia yang terputus hubungan susulan bencana di Nepal disahkan selamat dan telah pulang ke tanah air.
Jurucakap Malaysia-Singapore Family Interest Group (MASFIH), Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, individu berkenaan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober lalu sebelum kembali ke Malaysia pagi ini.
Menurutnya, individu itu kini bersama keluarganya, manakala 54 lagi rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi.
“Kami amat gembira dan bersyukur kerana seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini belum dapat dihubungi kini telah ditemukan dalam keadaan selamat dan telah kembali kepada keluarganya.
“Setelah 37 hari berada dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menerima semula insan yang mereka sayangi. Kegembiraan keluarga ini turut dirasai oleh semua keluarga lain yang masih menunggu,” katanya dalam kenyataan.
Manivannan berkata, individu berbangsa Cina itu melakukan perjalanan secara bersendirian dan merupakan satu-satunya pelancong solo.
Katanya, berdasarkan komunikasi langsung MASFIH dengan waris, individu berkenaan berada di Nagthali Viewpoint pada pukul 3.26 petang, 25 Ogos lalu, sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh pada 26 Ogos.
Beliau berkata, Nagthali Viewpoint merupakan kawasan tanah tinggi yang terletak jauh lebih tinggi berbanding Rasuwagadhi.
“Menurut maklumat yang disampaikan oleh waris, beliau kemudiannya terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, di samping ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses Wi-Fi yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi,” katanya.
Menurutnya, individu itu akhirnya berjaya meneruskan perjalanan ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sebelum pulang ke tanah air.
Sementara itu, Manivannan berkata, kesemua 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi melakukan perjalanan secara berkumpulan dalam beberapa kumpulan berasingan.
“Berdasarkan maklumat yang telah dikumpulkan dan disemak bersama keluarga, kesemua mereka melakukan perjalanan secara berkumpulan dalam beberapa kumpulan yang berasingan,” katanya.
Beliau berkata, 52 daripada mereka menyertai empat kumpulan berasingan, masing-masing terdiri daripada 23, 17, sembilan dan tiga orang.
Dua lagi rakyat Malaysia pula mengembara bersama pelancong dari negara lain.
Katanya, daripada keseluruhan 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi itu, 42 orang berbangsa India, 11 orang berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Cina. – UTUSAN











