Nepal sedia beri kerjasama - PM

Nepal sedia beri kerjasama – PM

Bersatu PH
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Nepal bersetuju memberikan komitmen penuh kepada Malaysia bagi mengesan 54 lagi rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir besar di negara itu pada 26 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah menerusi perbincangan antara kedua-dua mereka baru-baru ini.

Katanya, Balendra bersedia memudahkan usaha bagi memberikan kepastian kepada keluarga mengenai nasib ahli keluarga mereka yang masih belum ditemui.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri (Nepal) dan beliau bersedia memberikan segala kerjasama. Kita sudah minta Peguam Negara untuk mengambil tindakan susulan.

“Mereka ada undang-undang mereka dan kita ada undang-undang kita. Tempoh yang terpakai ialah enam atau tujuh tahun, manakala mereka tiga tahun.

“Namun, kita masih boleh memohon kepada mahkamah dan beliau (Balendra) maklumkan akan memberikan segala kerjasama yang diperlukan untuk memudahkannya supaya keluarga mendapat keputusan secepat mungkin,” katanya kepada media selepas meninjau kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas bencana banjir besar di Nepal berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan telah pulang ke Malaysia pagi tadi.

Kumpulan yang mewakili keluarga 55 rakyat Malaysia berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat daripada Wisma Putra mengenai penemuan lelaki terbabit.

Lelaki itu dilaporkan hadir di Kedutaan Malaysia di Kathmandu semalam selepas terputus hubungan dan terkandas di kawasan Nagthali.

Berdasarkan maklumat Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), lelaki berkenaan mengembara bersendirian di Nepal dan berada di Nagthali pada 25 Ogos, sehari sebelum bencana banjir melanda.

Dia terkandas di kawasan berkenaan untuk beberapa tempoh berikutan kehilangan akses komunikasi serta kerosakan infrastruktur sebelum akhirnya berjaya keluar dan menuju ke kedutaan Malaysia.

Terkini, jumlah rakyat Malaysia yang masih belum diketahui nasib mereka susulan bencana berkenaan kini berkurangan daripada 55 kepada 54 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN