Pemimpin UMNO letak ego ketepi, turun padang - MB Johor

Pemimpin UMNO letak ego ketepi, turun padang – MB Johor

ONN HAFIZ Ghazi menerima cenderamata selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi 2025 di Dewan Kota Kecil, Kota Tinggi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pemimpin UMNO disarankan mengenepikan ego dan menghayati semangat turun padang sebagai kunci meraih sokongan rakyat menerusi formula ‘3T 1M’ yang kini menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu bagaimanapun perlu dilakukan di semua peringkat kepimpinan, termasuk ahli majlis dan ketua kampung yang baru dilantik bagi menyelesaikan sebanyak mungkin isu-isu rakyat.

Katanya, pendekatan ‘3T 1M’ membawa maksud turun padang, teamwork, te syie te pan (hasil luar biasa, pendekatan luar biasa) dan micromanage (pengurusan terperinci).

Beliau bimbang pelbagai kejayaan dan pembangunan berjaya dilaksanakan, namun apabila  tidak diketengahkan kepada umum, rakyat tidak menyedarinya sekali gus menimbulkan persepsi seolah-olah parti tidak menjalankan tanggungjawab.

“Sebab itu kerajaan negeri kita gariskan strategi ‘3T 1M’. Saya kongsi supaya perwakilan dan pemimpin bahagian gunakan untuk santuni rakyat. `T’ pertama turun padang. Kena aplikasikan jika hendak dapatkan sokongan. Kena turun padang kalau tidak turun padang kita tidak dapat lihat keadaan sebenar. 

“Sebab itu pemimpin-pemimpin UMNO kena turun padang letak ego ketepi. Kita kena benar-benar menjiwai rakyat kerana kita manusia berasal dari tanah, berdiri atas tanah, makan hasil tanah dan akan kembali ke tanah, mengapa perlu bersifat langit. 

“Yang di bawah pun kena turun padang, ahli-ahli majlis yang telah dilantik, ketua-ketua kampung yang baru dilantik, jangan salahkan yang dekat atas sahaja, yang bawah pun kena turun padang, selesaikan sebanyak mungkin isu-isu rakyat,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi 2025 di Dewan Kota Kecil, Kota Tinggi di sini, hari ini.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, `T’ kedua adalah teamwork yang memerlukan gerak kerja berpasukan di peringkat parti.

 “Sebagai wakil rakyat, tidak boleh kerja berseorang tidak boleh tunggu dua tahun lagi baru hendak mula buat kerja, kena buat kerja sekarang, kena turun PDM (pusat daerah mengundi) dan cawangan-cawangan sekarang. 

“Saya hendak kepimpinan bahagian, wakil rakyat, sayap-sayap kita gerak kerja sebagai satu pasukan, tidak boleh ketepikan antara satu sama lain. Kita turun sebagai satu pasukan dan santuni masyarakat di setiap PDM. 

“Apa pun masalah, jangan sapu bawah karpet, jangan simpan. Kita ketengahkan kerana saya tak nak buat kerja saat akhir kerana UMNO konsisten berjuang sama ada pilihan raya atau tidak, jadi teamwork itu sangat penting,” katanya. 

Tambahnya, bagi `T’ ketiga iaitu Te Syie Te (hasil luar biasa, pendekatan luar biasa) diambil sempena lawatan beliau ke Shenzhen, China yang kini menjadi kawasan ekonomi terbesar di Asia dan mahu negeri Johor mencontohinya.

“Syukur dalam masa dua tahun setengah kita (Barisan Nasional) memerintah, nilai pelaburan langsung asing (FDI) Johor tertinggi dalam negara, hasil negeri melonjak buat pertama kali cecah RM2 bilion akhir tahun lepas dan sektor perladangan, pertanian, eksport kita tertinggi dalam negara,” katanya.

Beliau turut mengajak pemimpin UMNO untuk mengurus secara terperinci (micromanage) agar memahami isu dengan lebih baik dan dapat menyelesaikannya dengan pantas.

“Dengan pendekatan ini, kita boleh kenal pasti kebocoran, ketirisan atau kelewatan projek, sekaligus mengelak pembaziran yang merugikan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN