APABILA orang Melayu berpecah, politik Melayu kehilangan kekuatannya. Ini kerana undi yang sepatutnya membentuk satu kekuatan akhirnya tersebar kepada beberapa parti, sekali gus membuka ruang kepada pihak lain menentukan arah percaturan. Itulah realiti yang tidak boleh lagi disembunyikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Keadaan itu kembali menjadi perhatian apabila UMNO membawa gagasan penyatuan ummah sebagai jalan untuk merapatkan semula jurang yang terbentuk, ketika sebahagian akar umbi masih belum selesa dengan keputusan parti untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Selayang, DATUK HASNAL REZUA MERICAN, peralihan undi UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini menjadi isyarat keresahan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, ruang kerjasama antara parti Melayu perlu dimanfaatkan bagi mengurangkan pertembungan yang berisiko memecahkan undi, sebagaimana yang berlaku di Negeri Sembilan.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta jurufoto, SYAKIR RADIN, beliau berkata, penyatuan tidak seharusnya dibina atas rasa takut kehilangan kuasa, sebaliknya perlu berasaskan kekuatan sebenar, kepercayaan akar umbi dan kesediaan setiap parti mengiktiraf kedudukan masing-masing.
UTUSAN: Sejauh mana isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mempengaruhi sokongan terhadap UMNO menjelang PRU16, termasuk dalam kalangan pengundi Melayu?
HASNAL REZUA: Setakat ini, kita hanya menilai reaksi daripada parti-parti politik dan netizen. Namun, penilaian itu belum tuntas dan kita juga belum dapat mengesan sejauh mana isu tahanan rumah ini memberi impak negatif kepada UMNO atau sebaliknya.
Jadi, PRN Melaka menjadi medan untuk menilai penerimaan atau penolakan rakyat terhadap isu ini. Sekiranya ia memberi kesan kepada UMNO, prestasi parti itu akan dilihat menurun. Tetapi jika UMNO masih mengekalkan atau meningkatkan prestasi, atau undi yang diperoleh tidak banyak berubah, mungkin rakyat secara keseluruhannya tidak begitu terkesan dengan isu pengampunan atau tahanan rumah tersebut.
Saya melihat, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan pengundi kali pertama, mereka datang pada zaman selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN). Isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sebagainya tidak begitu memberi kesan kepada mereka. Mereka tahu mengenai isu itu tetapi bagi mereka, ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan BN sementara pemenjaraan Najib pula dilihat sebagai hasil daripada episod tersebut.
Jadi, kalau isu itu tidak ‘dijual’ semula dalam sesuatu pilihan raya, pihak lawan akan merasa kempen kurang menyengat. Sebab itu di Johor, apabila isu 1MDB cuba dibawa semula, tidak memberi kesan. Bukan saya hendak bercakap besar mengenai perkara ini tetapi kita sendiri dapat melihat kesannya.
Tapi mungkin Johor merupakan kubu kuat UMNO?
Kalau dikatakan Johor menjadi kubu UMNO, di Negeri Sembilan juga isu itu tidak menunjukkan kesan yang besar.
Bahkan, pada penghujung PRN Negeri Sembilan, isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) turut dibawa. Namun, perkara itu juga tidak menampakkan kesan yang ketara. Mungkin isu TH baharu pada ketika itu dan kita perlu melihat bagaimana isu tersebut memberi kesan dalam PRN Melaka.
Bagi saya, isu 1MDB kini merupakan sebahagian daripada ingatan kolektif rakyat Malaysia. Mereka sedar mengenai isu itu dan tahu ia pernah menjadi antara faktor atau penyumbang kejatuhan sebuah kerajaan, selain menyebabkan bekas perdana menteri dibicarakan dan dipenjarakan. Namun, bagi mereka, episod itu sudah berakhir.
Apa yang boleh Datuk katakan bila Mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dua kali dalam masa terdekat?
Boleh sahaja berlaku kerana tiada had masa dan perlu perkenan dan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Kalau semua bersetuju untuk mengadakan persidangan tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju, mustahil berlaku sidang. Sebab sidang itu mesti diuruskan oleh baginda.
Jadi kalau tanya saya soalan sama ada boleh berlaku atau tidak, ia boleh berlaku.
Tetapi seingatan saya, tidak pernah satu pengampunan yang sama didengar dalam tempoh seminggu.
Cuma kita mempersoalkan siapa yang memohon penangguhan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini. Kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pada saya lebih banyak mengemukakan persoalan daripada menjawabnya.
Kenyataan itu menyebut Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penangguhan permohonan pengampunan ke satu tarikh yang lain tetapi apabila disebut “baginda memperkenankan penangguhan”, tidak semestinya bermaksud baginda sendiri yang mengusulkan penangguhan tersebut.
Sebab itu persoalannya masih sama, iaitu siapa yang memohon penangguhan tersebut dan atas alasan apa ia dibuat?
Cuma kita mendapat sedikit bayangan apabila soalan diajukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, beliau menjawab “Jangan tanya saya. Tak aci tanya saya. Saya tidak duduk dalam Lembaga Pengampunan. Tanyalah Hannah Yeoh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)”
Maksudnya, penangguhan sebelum ini boleh dikatakan ada campur tangan politik?
Saya tidaklah pergi sejauh mengatakan campur tangan politik sebab semua anggota Lembaga Pengampunan itu boleh mempunyai usul atau cadangan masing-masing yang mahu disuarakan.
Jika lihat penangguhan itu seminggu sahaja, sedangkan sebenarnya boleh diselesaikan minggu sebelumnya.
Apabila dipanggil semula sidang pada minggu berikutnya, saya rasa ini memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia.
Kita tidak berhak tahu apa yang berlaku dalam persidangan. Cadangan Ketua sayap DAP, Teo Nie Ching yang menggesa kerajaan mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan sangat tidak beretika kerana mempunyai status rahsia. Sedangkan siapa anggota Lembaga Pengampunan pun kita semua tidak tahu.
Bagaimana Datuk melihat tindakan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) menawarkan peletakan jawatan? Adakah tindakan itu boleh meningkatkan sokongan rakyat terhadap DAP kerana dilihat bersih?
Saya tidak melihat tindakan Anthony itu menunjukkan DAP bersih. Sebaliknya, saya melihatnya sebagai protes. Cuma, Anthony tidak boleh menyatakannya secara terbuka kerana keputusan mengurniakan pengampunan bersyarat dibuat Yang di-Pertuan Agong.
Kalau mahu menunjukkan parti itu berprinsip dan bersih, sepatutnya semua anggota meletakkan jawatan dan keluar daripada Kabinet. Tidak konsisten apabila setiausaha agong meletakkan jawatan atas dasar prinsip tetapi anggota lain terus kekal dalam Kabinet.
Apa yang kita lihat, mereka konsisten mahu terus berada dalam Kabinet untuk bersuara, menyumbang serta membawa aspirasi DAP dalam kerajaan.
Mungkin Anthony merasakan selepas wakil DAP berada dalam Lembaga Pengampunan, mempunyai suara dan sepatutnya menggunakan pengaruh tetapi tidak berjaya.
PENYATUAN UMMAH
Bagaimana Datuk melihat saranan penyatuan ummah yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid?
Saya rasa penyatuan ummah ini, pertama sekali, memberikan kelegaan kepada ahli UMNO. Ketika kita membuat keputusan untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan dan bergerak bersama PKR, DAP serta Parti Amanah Negara (Amanah), ada keresahan dalam kalangan ahli yang perlu kita fahami.
Saya rasa keberadaan UMNO bersama DAP sangat tidak disenangi akar umbi. Kita dapat melihat kesannya apabila undi UMNO beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya enam negeri.
Walaupun kita cuba menjelaskan UMNO dan DAP seperti minyak dengan air yang tidak boleh bercampur, bukan mudah untuk meyakinkan akar umbi. Sebab itu, keputusan bertanding bersendirian di Johor, membentuk kerangka kerjasama di Negeri Sembilan serta pengiktirafan terhadap rakan kerjasama baharu memberikan kelegaan kepada akar umbi UMNO.
Namun, setiap pilihan raya mempunyai isu dan naratif tersendiri. Jadi, kita lihat dahulu bentuk kerjasama yang akan dipilih UMNO dan Pas untuk pilihan raya Melaka. Saya percaya akar umbi mahu kerjasama seperti di Negeri Sembilan diteruskan supaya undi Melayu tidak berpecah sehingga menyebabkan semua pihak mengalami kerugian.
Bagi saya, penyatuan Melayu tidak boleh terbatas kepada politik, sebaliknya perlu menjadi gagasan lebih besar yang menjadikan Melayu sebagai teras tetapi pada masa sama memastikan semua rakyat Malaysia dapat bernaung dengan selamat dan terlindung.
Ketika UMNO dominan dahulu, parti ini menjadi teras Melayu tanpa perlu bergabung dengan sesiapa kerana orang Melayu yakin kepada UMNO. Jadi, persoalannya bukan semata-mata soal menggabungkan dua parti dan meninggalkan yang lain. Saya mahu perjelaskan perkara itu terlebih dahulu.
UMNO bersama parti komponen lain pernah menjadi satu teras yang bukan sahaja merangkumkan sokongan orang Melayu tetapi turut menerima sokongan kaum lain. Namun, apabila sokongan Melayu berpecah kepada pelbagai jalur, wujud kekosongan teras yang cukup kuat untuk menampung sokongan tersebut.
Sebab itu, parti yang dominan dalam kalangan orang Melayu perlu memperkukuh terasnya terlebih dahulu sebelum menerima parti lain. Pembahagian dominasi pula mesti berdasarkan kekuatan sokongan sebenar, bukan semata-mata kesamarataan.
Kita tidak mahu mengulangi pengalaman PN, apabila pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) tidak benar-benar mencerminkan kekuatan sokongan masing-masing. Teras perlu dibina dahulu, kemudian parti lain boleh menyertai berdasarkan kekuatan yang mereka bawa.
Tetapi bila ada cabar-mencabar di negeri SG4, seolah-olah menunjukkan penyatuan ini sukar direalisasikan, komen?
Bagi saya, penyatuan UMNO dan Pas lebih baik dibincangkan oleh mereka yang diberi mandat oleh parti. Dalam kerangka kerjasama sekarang, setiap parti diwakili tiga orang, jadi apa-apa keputusan berkaitan teras kerjasama itu perlu dirujuk kepada enam individu tersebut.
Sebab itu, kenyataan pemimpin yang tidak berada dalam kelompok berkenaan tidak wajar ditafsirkan sebagai tanda keretakan atau perpecahan. Mereka tetap berhak bersuara atas kapasiti dan mandat masing-masing tetapi keputusan sebenar perlu dilihat berdasarkan pendirian kelompok yang diberi mandat.
Bagi mengharmonikan hubungan UMNO-Pas, saya fikir soal penyatuan lebih baik dibincangkan dalam kelompok kecil. Jika terlalu ramai terlibat, akan menyebabkan terlalu banyak pandangan dan pendirian muncul sehingga menyukarkan proses membuat keputusan.
Mungkinkah penyatuan ummah dibuat sebab rasa kecewa apabila kerajaan hari ini mengangkat Kerajaan Madani berbanding Kerajaan Perpaduan?
Antara perkara yang kita zahirkan sebagai ketidakpuasan hati terhadap PH ialah penggunaan istilah Kerajaan Madani. Perjanjian yang kita tandatangani adalah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, bukan Kerajaan Madani. Jadi, kita merasakan istilah itu seolah-olah menjadikan kerajaan ini milik satu pihak, sedangkan ia dibentuk bersama.
Begitu juga dengan usaha UMNO bekerjasama dengan DAP. Kita perlu akui penerimaan terhadap kerjasama itu, khususnya dalam kalangan orang Melayu, masih menjadi cabaran.
Secara objektifnya, UMNO dan DAP tidak pernah benar-benar berkongsi pentas pilihan raya. Ketika calon UMNO bertanding, DAP tidak turun berkempen untuk UMNO, begitu juga UMNO tidak berkempen untuk calon DAP. Dalam pilihan raya kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu, UMNO hanya menjaga undi penyokongnya untuk calon Kerajaan Perpaduan.
Kita juga tidak pernah menggunakan lambang atau bendera DAP dalam kempen UMNO. Malah, apabila timbul isu seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Pembaharuan Bandar 2025 (URA) dan Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), UMNO mengambil pendirian serta menyuarakan bantahan terhadap perkara yang dirasakan tidak selari dengan kepentingan parti dan rakyat.
Namun, semua itu masih belum cukup untuk meyakinkan akar umbi. Ada yang mahu UMNO keluar daripada kerajaan. Bagi saya, selagi kita tidak dikeluarkan, lebih baik kita kekal untuk tempoh yang berbaki kerana UMNO masih mempunyai tujuh menteri, kementerian dan platform untuk menyampaikan khidmat serta meraih sokongan rakyat, khususnya di luar bandar.
Jika kita keluar dan menjadi pembangkang, siapa yang akan membawa suara serta kepentingan orang Melayu? Sebab itu, kita perlu menggunakan ruang yang ada sebaik mungkin untuk memperkukuh semula sokongan kepada UMNO.
UMNO-Pas perlu selaras langkah di Selangor
Bagaimana UMNO di Selangor?
Kita bergerak perlahan di Selangor kerana Kerajaan Perpaduan masih berjalan dan kita menghormati kedudukan dalam kerajaan negeri. UMNO juga hanya mempunyai dua kerusi, walaupun kita mempunyai 10 penyelaras yang dilantik. Jadi, kita tidak mahu dilihat mengetepikan struktur sedia ada.
Jika parti atau kerajaan negeri mengarahkan saya berhenti, saya akan akur. Pada masa sama, kita sudah mengadakan perbincangan dengan Pas di peringkat Perhubungan Negeri. Saya lebih selesa jika perkara seperti kerjasama dan pembahagian kerusi turut dibincangkan di peringkat tersebut, bukan diserahkan kepada bahagian masing-masing.
Dengan cara itu, perbincangan dapat diselaraskan dan hubungan antara parti di peringkat negeri juga lebih teratur.
Datuk, dengan defisit kepercayaan terhadap PH di Selangor, adakah membantu memberi kemenangan untuk BN?
Ada potensi kerana Selangor mempunyai 56 kerusi, dengan sekitar 36 hingga 38 kerusi majoriti Melayu. Jadi, apa-apa bentuk gabungan yang menyatukan kekuatan undi Melayu berpotensi menjadi faktor penting dalam menentukan kemenangan.
Dari segi pentadbiran, Selangor bukanlah sebuah negeri yang gagal. Namun, sebagai negeri yang kaya, rakyat sememangnya mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap pembangunan, infrastruktur dan penyampaian kerajaan negeri.
Sebab itu, UMNO perlu memikirkan strategi dengan teliti, termasuk sama ada PRN diadakan serentak dengan PRU atau secara berasingan. Jika diadakan berasingan, isu yang lebih tertumpu pentadbiran negeri mungkin lebih menonjol.
Sebaliknya, jika diadakan serentak, isu nasional turut mempengaruhi pilihan pengundi.
Jadi, strategi pilihan raya perlu mengambil kira perbezaan antara isu negeri dan nasional, selain keperluan rakyat yang menjadi pertimbangan utama pengundi. –UTUSAN











