KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membincangkan penambahbaikan aspek keselamatan anggotanya terutama melibatkan kenderaan pengangkutan khususnya trak yang digunakan untuk bertugas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan beberapa cadangan khusus sedang diteliti termasuk penggunaan tempat duduk yang lebih selamat dan tersusun bagi mengelakkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
“Sebenarnya wakil kita ada dalam jawatankuasa itu dan beberapa cadangan telah pun dikemukakan.
“Khususnya dari segi keselamatan tempat duduk dan kita mahu pastikan susun atur dan penggunaannya lebih betul dan selamat,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali ke-90 KPDRM yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.
Razarudin berkata, antara isu lain yang turut dibangkitkan ialah penggunaan trak untuk mengangkut pelajar sekolah dan juga isu barangan yang diangkut bersama penumpang.
“Dalam sesetengah kes, peralatan berat atau barangan operasi diletakkan bersama anggota, dan ini meningkatkan risiko sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk memisahkan sepenuhnya ruang penumpang dan ruang kargo, lebih-lebih lagi dalam perjalanan ke lokasi operasi dan bukan semasa operasi sedang dijalankan.
Kelmarin Kementerian Pengangkutan mengeluarkan laporan awal siasatan nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan pada 13 Mei lalu antaranya mendapati tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, belakang termasuk di bahagian pemandu trak.
Sementara itu Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) mengumumkan agihan dividen tahunan sebanyak 5.8 peratus atas modal yuran dan 9.2 peratus atas modal syer kepada 119,922 anggota dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM36.14 juta.
Razarudin berkata, dividen terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus bagi modal yuran dan 2.2 peratus untuk modal syer berbanding tahun lalu.
“KPDRM Berhad mencatatkan keuntungan berjumlah RM50.14 juta bagi tahun lalu, RM45.02 juta pada 2023.
“Ini dipengaruhi peningkatan jumlah keanggotaan berdaftar daripada 114,608 orang pada 2023 kepada seramai 119,922 anggota pada 2024 melibatkan pertambahan seramai 5,314 orang,” katanya.
Menurutnya pemilikan modal yuran turut meningkat kepada RM586.6 juta pada 2024 berbanding RM558 juta pada 2023, peningkatan 4.9 peratus bersamaan RM28.6 juta.
Jelas beliau, pemilikan modal syer turut meningkat kepada 11 peratus bersamaan RM2.9 juta daripada RM20.5 juta pada tahun 2023, kepada RM23.04 juta pada tahun lalu. – UTUSAN








