PETALING JAYA: Persaingan jawatan Naib Presiden PKR semakin sengit setelah 11 nama mengemukakan borang pencalonan setakat pukul 9.20 pagi ini.
Terbaharu, Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berbuat demikian untuk mempertahankan kedudukan tersebut di samping beberapa nama lain yang mencuba nasib jawatan.
Selain itu, tiga lagi penyandang jawatan iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut sudah mengemukakan pencalonan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, R Ramanan; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit dan bekas Exco Selangor, Hee Loy Sian.
Turut menarik perhatian tokoh lama PKR, Mustaffa Kamil Ayub yang pernah menjadi Naib Presiden parti pada satu ketika dahulu juga bertanding Naib Presiden.
Sementara itu, masih belum ada pemimpin yang menghantar borang pencalonan Timbalan Presiden PKR setakat ini.
Dalam pada itu, semakan mendapati beberapa nama telah menyerahkan borang pencalonan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Pengerusi Finas dan pelakon, Datuk Hans Isaac dan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Selain itu, dua nama yang tewas ketika pemilihan Cabang PKR baru-baru juga menghantar pencalonan MPP antaranya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.-UTUSAN










