LANGKAWI: Russian Helicopters mempersembahkan tiga helikopter termasuk untuk memadam kebakaran di Pameran udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Wakilnya, Andrey Baranov berkata, aset berkenaan adalah helikopter luar pesisir, Mi-171A3, helicopter pemadam kebakaran, Ka-32A11M dan helikopter ringan pelbagai guna, Ansat.
Katanya, Russian Helicopters yang juga merupakan satu-satunya syarikat Russia yang mereka bentuk dan menghasilkan pesawat bilah berputar membawa tiga pesawat khas tersebut khas untuk LIMA’25.
“Mi-171A3 merupakan penyelesaian terbaik bagi negara-negara utama yang mengambil bahagian dalam LIMA. Sebagai contoh, Malaysia adalah pengeksport utama sumber asli dengan rizab minyak yang terbukti melebihi empat bilion tong.
“Selain itu, kebanyakan negara Asia yang menyertai pameran ini mempunyai garis pantai yang panjang atau rangkaian medan luar pesisir yang membangun.
“Oleh itu, penting bagi mereka memiliki armada pesawat yang mampu terbang merentasi daratan dan lautan seterusnya menjadikan Mi-171A3, penyelesaian ideal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai Ka-32A11M, Andrey berkata, pihaknya mempamerkan versi yang sudah dinaik taraf iaitu dilengkapi sistem pemadaman kebakaran buatan Rusia yang baharu iaitu SP-32.
“Daripada segi keberkesanan, helikopter ini mengatasi pesaing luar negara, ia mampu mengangkat dan menghantar sehingga 4,000 liter air dan 400 liter buih pemadam kebakaran dalam satu penerbangan.
“Pesawat naik taraf ini turut dilengkapi kawalan digital dan sistem pengambilan dan pelepasan air yang lebih ergonomik,” katanya. – UTUSAN










