PETALING JAYA: Masih belum ada pemimpin yang menghantar borang pencalonan Timbalan Presiden PKR setakat pukul 11.40 pagi ini.
Semakan Utusan Malaysia mendapati, pencalonan bagi jawatan tersebut masih kosong setelah proses pencalonan pemilihan pusat PKR mula dibuka pada hari ini.
Selain itu, masih belum ada pencalonan membabitkan jawatan Presiden PKR.
Berbanding Naib Presiden PKR, terdapat lima nama menghantar pencalonan antaranya penyandang, Chang Lih Kang.
Selain itu, empat nama lain iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan; Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Dewan Negara, Bun Sui Anyit.
Dalam pada itu, semakan mendapati beberapa nama telah menyerahkan borang pencalonan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Pengerusi Finas dan pelakon, Datuk Hans Isaac dan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Selain itu, dua nama yang tewas ketika pemilihan Cabang PKR baru-baru juga menghantar pencalonan MPP antaranya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Bagi sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula, masih belum terdapat pencalonan membabitkan jawatan Ketua AMK dan Timbalan Ketua AMK.
Semakan juga mendapati bagi sayap Wanita PKR pula, setakat kini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Juwairiya Zulkifli masing-masing telah menghantar borang pencalonan Ketua dan Timbalan Ketua Wanita PKR.
Fadhlina dan Juwairiya masing-masing merupakan penyandang kedua-dua jawatan tersebut.-UTUSAN










