Tak perlu bimbang pencawang TNB dekat dengan cerun

Tak perlu bimbang pencawang TNB dekat dengan cerun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk Taman Bandar Tiram, di sini tidak perlu bimbang dengan kedudukan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran cerun di kawasan perumahan itu.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang membuat lawatan ke tapak pencawang elektrik tersebut bersama pihak kontraktor berkata, hasil pemeriksaan mendapati jarak antara pencawang dan hujung cerun adalah 25 meter, melebihi jarak minimum yang ditetapkan iaitu 20 meter.

Katanya, apa yang berlaku adalah sudut rakaman sebuah video yang menyebabkan ia kelihatan seolah-olah pencawang dibina terlalu hampir dengan cerun.

“Sebagai langkah proaktif menangani kebimbangan penduduk, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengarahkan pemaju mengambil tindakan segera, termasuk memasang kanvas penahan hakisan di cerunan dan penempatan struktur ‘shippart’ sepanjang 15 meter.

“Saya juga telah meminta pihak pemaju untuk memulakan kerja-kerja pembinaan struktur penahan konkrit dalam bulan ini dan menjangka ia siap dalam tempoh enam minggu,” katanya ketika ditemui selepas lawatan itu.

Sementara itu Pengerusi Badan Pengurusan Seri Baiduri Bandar Tiram, Mohd. Kamarulzaman Azizan berkata, keadaan tanah yang kelihatan seperti berlaku hakisan itu mengundang risiko keselamatan, khususnya ketika musim hujan.

Katanya, perkara itu menimbulkan kebimbangan lebih 250 penduduk yang mendiami kira-kira 190 unit rumah dalam tiga blok kediaman tersebut.

“Ada penduduk di kawasan ini mengambil gambar yang kedudukan pencawang elektrik dan cerun dilihat sangat hampir. Apabila gambar tersebut tular dalam Facebook, ramai mula panik. Kami risau jika berlaku tanah runtuh atau cerun mendap, lebih-lebih lagi apabila hujan lebat,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN

Habis

 JIMMY PUAH WEE TSE (tiga dari kiri) menunjukkan pencawang TNB ketika melakukan tinjauan berhampiran tapak pembinaan perumahan di Jalan Tiram 1/31 Ulu Tiram, Johor Bahru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN