GEORGE TOWN: Kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan berisiko runtuhan sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya kini dipergiat apabila Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan khas berjumlah RM8.8 juta bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, peruntukan itu merupakan tambahan RM4.9 juta berbanding tahun lalu, sekali gus membolehkan lebih banyak projek cerun dapat dilaksanakan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Kelulusan dana ini diterima susulan surat permohonan yang dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 16 April lalu bagi membaiki cerun-cerun yang dikenal pasti berisiko di seluruh negeri.
“Tahun ini pula, Pulau Pinang menerima tambahan besar sebanyak RM8.8 juta untuk kerja-kerja pembaikan cerun dan kerja-kerja ini akan dijalankan secepat mungkin terutama di jalan-jalan yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya selepas meninjau Jalan Batu Ferringhi di sini, hari ini.
Menurut Zairil, sebanyak 15 projek dilaksanakan di daerah Timur Laut dengan kos keseluruhan RM7.6 juta, manakala satu projek di daerah Barat Daya bernilai RM1.18 juta.
“Projek-projek ini melibatkan laluan persekutuan utama seperti Jalan Yahya Petra, Jalan Batu Ferringhi, Jalan Tanjung Bungah dan Jalan Paya Terubong,” katanya. – UTUSAN










