522 murid SK Batu Melintang semarak semangat patriotik

522 murid SK Batu Melintang semarak semangat patriotik

Murid SK Batu Melintamg mengangkat tangan sebagai ikrar untuk terus memakai lencana Jalur Gemilang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 522 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang di sini menyertai Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sempena inisiatif Kementerian Pendidikan dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga institusi pendidikan.

Majlis yang berlangsung pada waktu perhimpunan rasmi bermula pukul 7.30 pagi itu diadakan serentak di seluruh sekolah bawah kementerain berkenaan dengan objektif memperkukuh nilai cinta akan negara serta memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan latar belakang.

Menurut Guru Besar SK Batu Melintang, Laila Ismail, pemakaian lencana Jalur Gemilang adalah satu simbol penghormatan terhadap negara dan perlu disematkan dengan penuh rasa bangga.

“Usaha ini penting dalam membina jati diri dan semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda. Lencana ini bukan hanya lambang, tetapi menyampaikan mesej bahawa murid perlu sentiasa menjunjung nilai kebangsaan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri, ikrar Rukun Negara dan bacaan doa sebelum diteruskan dengan gimik simbolik pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh wakil murid.

Turut diadakan ialah penyampaian mesej khas oleh Duta Sahsiah sekolah yang menekankan nilai disiplin, tanggungjawab dan semangat kenegaraan dalam kalangan murid.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Shamsul Bahari bin Abd Manap, berkata pemakaian lencana tersebut dapat membentuk perasaan bangga terhadap identiti sebagai rakyat Malaysia.

“Lencana Jalur Gemilang ini perlu dilihat sebagai satu penghormatan. Ia juga melambangkan perpaduan serta mewujudkan keseragaman dalam penampilan murid selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh KPM,” jelasnya.

Majlis yang berakhir pada pukul 8.15 pagi itu turut diserikan dengan sesi bergambar melibatkan seluruh warga sekolah yang memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing.

Program tersebut diharap dapat menjadi platform awal dalam membentuk generasi muda yang berjiwa patriotik, berdisiplin dan sayang akan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN