Tiket habis paksa orang ramai berbelanja lebih

Tiket habis paksa orang ramai berbelanja lebih

ORANG ramai mencari tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiket ekonomi bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri habis terjual, memaksa perantau membeli tiket pre­mium yang lebih mahal dari kadar biasa.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati, kebanyakan tiket habis lebih awal, terutama ke negeri di Pantai Timur dan Utara dan hanya tiket premium berharga lebih mahal yang tinggal.

Sementara itu, penelitian dalam talian pula mendapati, harga tiket bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan Terengganu masih ada, namun tidak banyak dengan harga pula mencecah sehingga RM90, sementara ke Pulau Pinang dan Butterworth mencecah RM100 sehala.

Bagi tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pula mencecah RM650 sehala, manakala ke Pantai Timur meningkat sehingga RM1,000 sehala.

Seorang penuntut, Muhammad Rey Hazriell, 22, yang ingin pulang ke Terengganu dari Shah Alam berkata, dia sempat membeli tiket dua minggu sebelum perjalanan, namun harga me­ningkat dari kebiasaan.

“Harga tiket biasanya RM50 tapi kali ini naik sehingga RM75, itu pun banyak tiket bas sudah habis terjual walaupun saya sudah beli dua minggu awal,” katanya.

Nurul Syuhada Sukapeli, 23, pelajar latihan industri pula berkata, harga tiket yang bia­sanya RM38 hingga RM45 kini mencecah RM60 ke atas.

“Kalau hendak murah kena beli sebelum puasa lagi, tetapi disebabkan jadual kerja yang tidak menentu, saya terpaksa beli lambat dan dapat harga yang mahal,” katanya.

Mereka yang pulang ke Sabah dan Sarawak pula berdepan harga tiket penerbangan yang naik hampir dua kali ganda berban­ding harga asal.

Mohd. Erwanizam Osmand, 24, siswa universiti awam berkata, harga tiket AirAsia ke Kota Kinabalu sebelum Ramadan adalah di bawah RM200, tetapi meningkat kepada lebih RM500 ketika puasa.

“Untuk penerbangan ke Tawau 30 Mac ini, harga tiket mencecah RM1,080. Minggu ni sahaja harga tiket sehala naik antara RM600 hingga RM800,” katanya.

Nurain Yasmien Mohd. Hidayat, 22, yang membeli tiket penerbangan di Terengganu untuk pulang ke Selangor, turut mengalami nasib yang sama.

“Tiket penerbangan kali ini saya beli sebulan sebelum ha­nya RM165, tetapi jika dicampur kos ulang-alik, jumlahnya boleh mencecah RM400,” katanya. – UTUSAN

 

INFO

====

Perkhidmatan Bas 29 MAC 2025 (Sehala)

KL-Kelantan:

Ekspres Mutiara = RM85

Queen Express = RM86

Naza Express = RM86

 

KL-Terengganu:

Darul Iman Express = RM80.70

SANI Express = RM51.70

Adam Ekspres = RM69

AYU EXPRESS = RM55

 

KL-Pulau Pinang:

Star Qistna = RM75

LEXOJAYA = RM100

Billion Stars = RM65

 

KL-Kedah

Kejora Express = RM85

Kristal Qirana = RM75

Pancaran Matahari =RM80

 

Penerbangan Sehala 29 MAC 2025

=======================

MAS (KL-Kuching = RM 594)

(KL-Alor Setar, Kedah  = RM723)

(KL-Kuantan = RM 1223)

 

AirAsia

(KL-Penang = RM 375)

(KL-Johor Bahru = RM 180)

(KL- Kota Bharu, Kelantan = RM 682)

 

Batik Air

(KL-Alor Setar, Kedah = RM 680)

(KL-Sarawak = RM 459)

(KL- Penang= RM 329)

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN