PETALING JAYA: Sebanyak 50 bas tambahan disediakan bagi semua laluan yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada pengendali bas menjelang Aidiladha susulan peningkatan 20 peratus jualan tiket berbanding tahun lalu.
Terminal Management and Services (TMAS) Sdn. Bhd. berkata, penyediaan bas tambahan berkenaan dibuat bagi menampung permintaan penumpang ke seluruh destinasi untuk pulang ke kampung halaman.
“Jualan tiket bas turut berlaku peningkatan bermula hari ini. Ia juga dijangka berlaku peningkatan secara berterusan sehingga 26 Mei dan penutup cuti pada 7 Jun nanti.
“Lebih kurang 20 peratus peningkatan jualan tiket direkodkan, berbanding musim raya tahun lepas disebabkan cuti sekolah akan turut berlangsung”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, jualan tiket turut berlaku permintaan tinggi bagi laluan Utara menghala ke Pulau Pinang, laluan Pantai Timur menghala ke Kota Bharu manakala laluan Selatan, jualan tiket laris bagi laluan menghala ke Johor Bahru.
Sementara itu, pihak TBS turut melakukan penambahbaikan sistem dan penyelenggaraan berjadual bagi memastikan kelancaran operasi terutama musim puncak.
Selain itu, TBS juga menambah tenaga kerja bagi menampung keperluan operasi dan berjalan dengan lancar.
“Penumpang dinasihatkan agar rancang perjalanan dan hadir ke terminal lebih awal bagi mengelakkan kelewatan dan kesesakan lalu lintas,” katanya. – UTUSAN










