Penumpang mengeluh tambang bas ekspres naik

Penumpang mengeluh tambang bas ekspres naik

PENUMPANG mendakwa kenaikan tambang sehingga 40 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penum­pang bas ekspres kelas ekonomi menyifatkan kenaikan tambang pengangkutan awam itu sehingga 40 peratus sebagai tidak wajar dan membebankan.

Seorang pengguna, Mukhlis Sauqi Azmi, 28, berkata, dia terkejut tambang bas ekspres dari Kuala Terengganu dan Marang ke Kajang, Selangor naik sehingga melebihi RM20.

‘Ketika membeli tiket untuk destinasi sama hujung bulan lalu, tambangnya adalah RM47. Namun semasa membelinya kelmarin, harga tiket melonjak kepada RM71. Tambang ini adalah untuk hari biasa, bukan musim perayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mukhlis Sauqi, kenaikan itu membebankannya yang kerap berulang-alik dari negeri ini ke Selangor kerana dia dan isterinya kini berada dalam fasa perkahwinan jarak jauh atas tuntutan kerja dan keluarga.

Seorang lagi pengguna, Norliza Mamat, 47, berharap kerajaan dapat campur tangan kerana pengguna telah tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan semasa.

Katanya, jika kenaikan tambang bas ekspres itu tidak dapat dielakkan, harga tiket untuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelak seharusnya mampu milik dan memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berbaloi.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Datuk Abu Hassan Awang berkata, penyelarasan kadar tambang bas ekspres yang diluluskan kerajaan hanya membabitkan perkhidmatan bas kelas eksekutif manakala tambang bagi bas kelas ekonomi kekal tanpa sebarang perubahan.

Katanya, semakan itu dibuat selepas kadar tambang tidak disemak dalam tempoh 13 tahun sebelum kerajaan meluluskan penyelarasan berkuat kuasa pada 5 Ogos 2022 bagi mengambil kira peningkatan kos operasi serta penambahbaikan kemudahan kepada penumpang.

Beliau berkata, pengusaha bas kini berdepan peningkatan kos operasi yang semakin membebankan termasuk kenai­kan harga bahan api, tol, tayar dan alat ganti selain harga casis bas yang melonjak sehingga 200 peratus sejak 2021.

Menurutnya, ­penyelarasan kadar tambang itu juga me­ngambil kira pelaburan syarikat bas dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih moden dan selesa termasuk penggunaan sistem tiket serta kaunter digital.

“Kami tidak akan mampu bertahan sekiranya kadar tambang terus dikekalkan sedangkan kos operasi semakin me­ningkat dari semasa ke semasa. Kenaikan harga casis sehingga 200 peratus, selain kos tayar dan alat ganti yang meningkat secara mendadak, memberi kesan besar kepada industri bas ekspres.

“Bagi bas kelas ekonomi, kadar tambang masih kekal pada kadar siling 0.093 sen bagi setiap kilometer manakala bagi bas kelas eksekutif kadar siling dinaikkan daripada 0.012 sen kepada 0.015 sen bagi setiap kilometer,” katanya.

Abu Hassan berkata, pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap kadar tambang yang ditetapkan boleh mengemukakan aduan kepada Agensi Pe­ngangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut.

Katanya, perbezaan kadar tambang itu selaras dengan kemudahan yang ditawarkan apabila bas kelas ekonomi menggunakan susun atur tempat duduk 2+2, manakala bas kelas eksekutif menawarkan susun atur 2+1 yang lebih luas dan selesa.

Mengenai persaingan apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula beroperasi tahun depan, beliau berkata, kewujudan perkhidmatan rel itu tidak dilihat sebagai ancaman, sebaliknya beri lebih banyak pilihan kepada pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN