'Berbisik hanya adat, boleh diamal selagi tidak langgar syarak'

Berbisik hanya adat, boleh diamal selagi tidak langgar syarak – Mufti

AMALAN atau kaedah berbisik yang diamalkan ketika urus niaga jual beli ikan di Pasar Bisik Kuala Muda sama ada di Kedah atau Pulau Pinang dianggap sebagai adat setempat dan boleh diteruskan selagi tidak bercanggah dengan syarak.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kaedah berjual beli secara bisikan seperti yang diamalkan di Pasar Bisik Kuala Muda ketika ini dilihat sekadar sebahagian daripada adat setempat sahaja.

Sehubungan itu, Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, selagi adat yang diamalkan itu tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak, maka, ia boleh diterima.

Katanya, tradisi ini juga boleh disamakan dengan konsep lelongan atau muzayadah yang dibenarkan dalam Islam selagi tidak berlaku penipuan atau manipulasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam hal ini termasuk ketelusan dalam harga iaitu harga yang ditawarkan dan dipersetujui mestilah jelas untuk mengelakkan unsur gharar (ketidakpastian) atau penipuan.

“Selain itu, tidak berlaku unsur penindasan dan semua pihak mestilah diberikan peluang yang adil untuk membuat bidaan serta wujud kesepakatan iaitu kedua-dua pihak mesti bersetuju dengan hasil urus niaga tanpa unsur paksaan.

“Jika semua ini dipatuhi, maka, kaedah jual-beli secara berbisik ini boleh dianggap harus. Ia juga termasuk dalam prinsip al-‘urf (adat kebiasaan) yang diterima dalam Islam selama mana ia tidak bercanggah dengan syariat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini hari ini melaporkan mengenai tradisi berbisik dalam menentukan harga semasa menjalankan urus niaga di Pasar Bisik Kuala Muda yang terletak di dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang.

Difahamkan, tradisi jual-beli ikan itu diamalkan sejak tahun 60-an dan masih kekal hingga ke hari ini walaupun pernah dihentikan seketika semasa penularan pandemik Covid-19 beberapa tahun yang lalu.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan ketika dihubungi memberitahu, amalan berbisik untuk urusan jual beli di Pasar Bisik merupakan suatu amalan dan budaya di suatu lokaliti tertentu sahaja.

Dalam hal ini katanya, KPDN melihat kaedah atau amalan itu tidak menindas mana-mana pengguna atau pembeli kerana mereka mempunyai pilihan untuk membeli di Pasar Bisik atau mana-mana pasar awam yang sememangnya mempunyai tanda harga.

Dari sudut perihal mengenai nama pasar pula, jelas telah diperihalkan dengan nama Pasar Bisik dan seharusnya setiap pembeli yang ingin berurus niaga di situ harus faham dengan konsep perniagaan tersebut.

“Sehingga kini, KPDN juga tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung dengan perkara ini. Oleh itu, KPDN menganggap ia merupakan suatu budaya unik dan tiada keperluan untuk dijadikan suatu isu sehingga menimbulkan ketidakpuasan mana-mana pihak,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini