SERIAN: Sambutan Krismas di sebuah perkampungan kaum Bidayuh diraikan dengan meriah dan penuh semangat kekeluargaan di samping masih mengekalkan gaya tradisi sambutan lama nenek moyang masing-masing.
Wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini berkesempatan mengunjungi Kampung Paon Sungai Rimu, Serian, Sarawak bagi melihat sendiri cara sambutan Krismas dalam kalangan komuniti di situ.
Kemeriahan sambutan perayaan di kampung tersebut bukan sahaja terdiri daripada kaum Bidayuh, terdapat juga kaum lain hasil daripada perkahwinan campur, antaranya Iban, Siam, India, Ulu, dan Melayu.
Sehubungan itu, perbezaaan kaum dan bangsa tidak menjadi halangan untuk komuniti di perkampungan tersebut untuk mengeratkan silaturahim.
Malah, menurut salah seorang penduduk kampung, Mary Sena, 31, setiap perayaan yang disambut bersama masyarakat di situ, mereka mengambil peluang untuk menghidang juadah tradisi masyarakat Bidayuh.
“Sambutan krismas kali ini, saya menyediakan masakan seperti itik masak talu, pekasam Bidayuh dan umai kaki ayam.
“Walaupun bagaimanapun, kami juga akan memastikan makanan disediakan secara halal, ekoran saudara-mara lain beragama Islam,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kevin Tharan, 40, berkata, sambutan Krismas di kampung isterinya itu sangat berbeza dengan tradisi yang diamalkan oleh keluarga beliau di Perak.
“Sambutan di sini sangat meriah, kerana kita bukan sahaja meraikan bersama ahli keluarga sendiri malah pada malam 24 dan 25 Desember semua komuniti kampung akan berkumpul bersama-sama menyambut bersama” katanya.
Pesta keramaian bagi sambutan Krismas di kampung itu pada malam tersebut dimulakan dengan acara kaum lelaki menyambut hormat ketibaan kaum wanita dengan diiringi alunan gendang dan gong Bidayuh.-UTUSAN










