GEORGE TOWN : Agensi promosi pelaburan di bawah kerajaan negeri, InvestPenang kini sedang berkomunikasi dengan Intel berhubung situasi semasa melibatkan syarikat pembuat cip terkenal daripada Amerika Syarikat (AS) itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu diambil selepas syarikat berkenaan dikatakan menghentikan sebahagian projek pembungkusan serta ujian cip baharunya di Pulau Pinang.
Jelas Kon Yeow, ketika ini, penilaian situasi semasa sedang dibuat dan kenyataan mengenainya akan dibuat oleh Intel pada masa yang sesuai nanti.
“Kita tidak boleh bercakap bagi pihak mereka dan mereka akan mengeluarkan kenyataan apabila mereka telah membuat keputusan.
“Kita tidak tahu apa pengumuman itu, jadi, kita perlu menunggu. Saya percaya sebagai sebuah syarikat yang begitu terkemuka, mereka mempunyai prosedur dan proses untuk menguruskan isu-isu sedemikian,” katanya.
Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis pelancaran Advance Tech Equipment Cluster, di sini yang turut dihadiri oleh
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan, Intel dikhabarkan telah menghentikan sebahagian projek pembungkusan dan ujian cip baharu mereka di Pulau Pinang.
Difahamkan, projek tersebut merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$7 bilion (RM30.3 bilion) yang diumumkan tiga tahun lalu.
Langkah berkenaan diambil berikutan masalah aliran tunai yang menyebabkan Intel menggantung pembayaran dividen dan memulakan pengurangan pekerja pada seluruh operasinya di peringkat global.
Bagaimanapun, penangguhan sebahagian daripada projek ini dijangka hanya menjejaskan kilang baharu Intel tanpa memberi kesan kepada operasi sedia ada.-UTUSAN










