GEORGE TOWN : Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang ditangguhkan pada bulan lepas dijangka diadakan semula November ini bagi membincangkan pelbagai isu termasuk mengenai kedudukan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat berkenaan tidak dapat diadakan buat masa ini kerana ramai pemimpin terlibat mempunyai komitmen yang tidak dapat dielakkan.
“Ramai pemimpin kita ada komitmen di tempat lain sekarang. Jadi, kita akan mengadakan mesyuarat yang seterusnya pada November (bulan depan),” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, tidak semua mesyuarat PH perlu diberi liputan sekiranya tiada pengumuman penting untuk dibuat dalam mesyuarat berkenaan.
“Jadi, saya tidak fikir kita perlu meminta media untuk membuat liputan bagi setiap mesyuarat kita. Kecualilah jika (dimaklumkan) ada sebarang pengumuman yang akan dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengesahkan bahawa isu peletakan jawatan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said sebagai Ahli Majlis di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga akan dibincangkan dalam mesyuarat PH akan datang.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil sebelum ini menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap kenyataan Mohd. Zaidi yang mengkritik PH khususnya DAP pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
Justeru, Muhammad Faiz yang juga Pengerusi Amanah negeri berpandangan, perkara berkenaan termasuk kedudukan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu dibawa ke mesyuarat PH pada peringkat negeri.-UTUSAN











