GEORGE TOWN : Meskipun sekadar meraih undi kedua tertinggi daripada perwakilan, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berjaya menepati ramalan apabila secara rasminya dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu bagi penggal 2024/2027.
Steven dipilih menggantikan pengerusi terdahulu, Chow Kon Yeow yang menerajui parti itu sejak 25 tahun lalu manakala Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang meraih undian tertinggi pula dilantik menjadi Timbalan Pengerusi DAP negeri yang baharu.
Exco negeri, Zairil Khir Johari kekal sebagai Naib Pengerusi manakala bekas Exco negeri sebelum ini, Datuk Yeoh Soon Hin pula dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying kekal sebagai Setiausaha DAP negeri dan H’ng Mooi Lye dilantik menjadi Penolong Setiausaha DAP negeri dengan jawatan Bendahari serta Penolong Bendahari DAP negeri masing-masing disandang oleh Teh Lai Heng dan Lay Hock Peng.
Bagi jawatan Setiausaha Organisasi DAP negeri pula, ia dipegang oleh Phee Boon Chee manakala jawatan Setiausaha Publisiti negeri dan Pengarah Pendidikan Politik negeri pula masing-masing dipegang oleh Woo Sze Zeng dan Daniel Gooi Zi Sen.
Urusan pemilihan Jawatankuasa Negeri yang baharu dikendalikan oleh Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan serta Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
Terdahulu, sebanyak 1,452 perwakilan telah menjalankan pengundian hari ini bagi memilih jawatankuasa negeri untuk parti itu di Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027.

Dalam pada itu, Steven berkata, kesemua yang terpilih pada pemilihan kali ini adalah pasukan perpaduan dan mereka akan merapatkan saf parti demi kepentingan rakyat dan juga parti
“Jawatankuasa yang terpilih ini tekad untuk meneruskan perjuangan parti yang didokong oleh pemimpin parti sebelum ini dan kami akan menyokong sepenuhnya kerajaan negeri yang dipimpin oleh Chow Kon Yeow serta kerajaan Pusat yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Tambah beliau, kesemua mereka yang dilantik oleh para perwakilan akan bekerja keras untuk memastikan DAP akan kekal menjadi parti pilihan rakyat.
Ramkarpal pula memberitahu, beliau akan bekerja untuk parti dan meneruskan mandat yang telah diberikan kepada beliau dengan sebaiknya.
“Saya terkejut dengan sokongan yang diberikan kepada saya dan ia adalah sesuatu yang amat berharga. Jadi, saya akan bekerja keras untuk mereka yang telah memilih saya,” katanya.-UTUSAN











